Gevorkian didakwa menipu sebagai doktor berlesen. FOTO Agensi
Gevorkian didakwa menipu sebagai doktor berlesen. FOTO Agensi
Agensi

Los Angeles: Seorang lelaki di California, Amerika Syarikat (AS) didakwa minggu lalu kerana menipu sebagai doktor berlesen dan mengamalkan perubatan ke atas beribu-ribu individu, menurut Peguam Daerah Los Angeles George Gascón dalam kenyataannya, Isnin lalu.

Stephan Gevorkian, 44, didakwa atas lima pertuduhan jenayah mengamalkan perubatan tanpa sijil selama beberapa tahun di kliniknya, Pathways Medical di Hollywood Utara, kata kenyataan itu.

Klinik itu menjalankan ujian darah ke atas pesakit, menasihati mereka mengenai rawatan dan menawarkan rawatan untuk penyakit kritikal termasuk kanser dan jangkitan virus, kata kenyataan itu.

Tuduhan itu dibuat selepas penyiasat yang menyamar melihat Gevorkian mengadakan rundingan rawatan di kliniknya itu pada November lalu.

Kes itu juga sedang disiasat oleh Jabatan Hal Ehwal Pengguna California, menurut kenyataan itu lagi.

Gevorkian mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan pada Jumaat dan hakim membebaskannya dengan syarat dia tidak mengamalkan perubatan, kata Tatevik Tigranyan, jurucakap Pejabat Peguam Daerah, memberitahu CNN.

CNN juga sudah menghubungi peguam Gevorkian, Pathways Medical dan Jabatan Hal Ehwal Pengguna untuk mendapatkan komen.

"Mengamalkan perubatan tanpa lesen bukan sahaja aktiviti jenayah di California, ia boleh menyebabkan kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada kesihatan orang awam yang tidak dapat mencurigai perbuatan itu," kata Gascón dalam satu kenyataan.

Pejabat Peguam Daerah menggalakkan sesiapa sahaja yang menganggap mereka mungkin mangsa dalam kes itu untuk menghubungi pihak berkuasa. Perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 24 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 3:43 PM