PASUKAN penyelamat membawa keluar orang awam dari sebuah bangunan berhampiran kementerian penerangan di Kabul. FOTO AP
PASUKAN penyelamat membawa keluar orang awam dari sebuah bangunan berhampiran kementerian penerangan di Kabul. FOTO AP

Reuters

KABUL: Sekumpulan lelaki bersenjata menyerang kementerian penerangan di pusat bandar Kabul dalam serangan waktu tengah hari yang turut mengakibatkan kematian.

Jumlah kematian rasmi tidak didedahkan, tetapi seorang anggota keselamatan yang enggan dikenali berkata, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan sembilan cedera.

Seorang penyerang meletupkan dirinya di pintu masuk ke bangunan di kawasan sibuk ibu negara itu, sebelum tembakan dilepaskan.

Pekerja pentadbiran Syeda Rashid berkata: “Kami melihat lelaki bersenjata cuba memecah masuk ke sebuah pejabat malah menembak kami ketika cuba melarikan diri.

“Saya mendengarnya berkata ‘Saya akan membunuh semua orang di sini.’”

Menurutnya, enam rakan sekerja wanita cedera dalam kejadian itu.

Jurucakap kementerian, Nasrat Rahimi berkata, polis berbalas tembakan dengan sekurang-kurangnya tiga penyerang sebelum keadaan akhirnya terkawal pada lewat petang.

Ratusan pekerja kementerian itu, selain kanak-kanak di pusat penjagaan kakitangan berhampiran dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:34 PM