Abdul Hasib
Abdul Hasib
AFP

KETUA kumpulan Daish di Afghanistan, dipercayai dalang di sebalik beberapa serangan berprofil tinggi termasuk di hospital tentera yang meragut sekurang-kurangnya 50 nyawa, maut dalam operasi tentera.

Abdul Hasib, yang kumpulannya bersekutu dengan Daish di Iraq dan Syria terbunuh bulan lalu dalam sebuan pasukan khas di wilayah Nangarhar, kata jurucakap Presiden Ashraf Ghani dalam satu kenyataan di Kabul.

“Dia mengarahkan serangan ke atas hospital di Kabul yang menyebabkan puluhan orang maut dan cedera.

“Kerajaan Afghanistan komited meneruskan operasi melawan Daish dan kumpulan pengganas lain sehingga mereka dihapuskan,” katanya.

Komander NATO di Afghanistan, Jeneral John Nicholson mengesahkan kematian Abdul Hasib dan memberi amaran anggota Daish lain yang datang ke Afghanistan akan mengalami nasib sama.

Pertama kali muncul pada 2015, sekutu Daish di Afghanistan menakluki sebahagian besar wilayah Nangarhar dan Kunar yang terletak berhampiran sempadan Pakistan, tetapi peranan mereka dalam konflik di negara itu tidak sebesar Taliban.

Kumpulan itu mengaku bertanggungjawab terhadap beberapa siri serangan berdarah, termasuk di hospital tentera di Afghanistan Mac lalu, apabila lelaki bersenjata menyamar sebagai doktor menyerbu bangunan itu dan melemparkan bom tangan ke arah wad yang sesak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2017 @ 2:47 AM