ABHISIT Vejjajiva
ABHISIT Vejjajiva
Reuters

Bangkok: Mahkamah Agung Thailand semalam menggugurkan kes terhadap bekas Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva yang mengarahkan polis menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang menentang kerajaannya pada 2010.

Lebih 90 orang terbunuh dalam kekacauan itu, dianggap antara episod paling berdarah perebutan kuasa membabitkan penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dan penentangnya.

Abhisit dan timbalannya, Suthep Thaugsuban dituduh membunuh serta cubaan membunuh bagi tindakan terhadap penyokong Thaksin yang berbaju merah yang berhimpun di Bangkok selama dua bulan.

Mahkamah Agung mengekalkan keputusan mahkamah rendah yang memutuskan Jabatan Siasatan Khas polis tiada kuasa perundangan untuk mengemukakan kes berkenaan.

Kes itu dikemukakan pada 2014 sebelum kerajaan adik Thaksin yang ketika itu perdana menteri, Yingluck Shinawatra ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera.

Tentera merampas kuasa selepas bantahan terhadap Yingluck oleh kumpulan baju kuning bertukar menjadi ganas.

Yingluck menewaskan Parti Demokrat pimpinan Abhisit dalam pilihan raya umum 2011.

Menurut mahkamah, sebarang kes terhadap Abhisit perlu difailkan oleh Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan melalui satu unit khas mahkamah yang menguruskan individu yang memegang jawatan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:07 AM