THAKSIN
THAKSIN

Bangkok: Kerajaan Thailand mahu mendakwa bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra atas dakwaan rasuah mengikut undang-undang yang membolehkan ahli politik dibicara tanpa kehadirannya, kata pegawai semalam.

Langkah itu diambil selepas adik Thaksin yang juga bekas perdana menteri, Yingluck turut dihukum penjara walaupun tidak hadir ke mahkamah.

“Pendakwa raya menghantar permohonan ke mahkamah agung hari ini (semalam) untuk meneruskan dua kes tanpa kehadiran tertuduh mengikut undang-undang baru,” kata jurucakap pejabat peguam negara, Wanchart Santikunchorn.

Bekas menteri perdagangan dan anggota Parti Puea Thai pimpinan Yingluck mendakwa tindakan pendakwa raya itu bersifat politik.

Thaksin ditumbangkan dalam rampasan kuasa 2006 dan sejak itu hidup dalam buangan bagi mengelak disabitkan dengan tuduhan rasuah yang didakwanya bersifat politik.

Bekas taikun telekomunikasi itu juga didakwa atas beberapa tuduhan rasuah tetapi kes itu terpaksa ditangguhkan hingga dia kembali ke Thailand untuk dibicarakan.

Bagaimanapun, satu undang-undang yang baru digubal pada September lalu membolehkan ahli politik dibicarakan tanpa kehadiran di mahkamah. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 10:05 AM