SEORANG wanita memegang kipas dengan gambar Yingluck ketika hadir ke Mahkamah Agung Thailand di Bangkok semalam. - EPA
SEORANG wanita memegang kipas dengan gambar Yingluck ketika hadir ke Mahkamah Agung Thailand di Bangkok semalam. - EPA
YINGLUCK
YINGLUCK
Reuters

Bangkok: Mahkamah Agung Thailand semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra kerana cuai mengurus skim subsidi padi.

Keputusan dibacakan in absentia (tanpa kehadiran) selepas Yingluck lari ke luar negara bulan lalu kerana bimbang dikenakan hukuman berat.

Dia berdepan hukuman penjara 10 tahun selepas didakwa cuai dalam menguruskan skim itu yang menyebabkan negara kerugian berbilion dolar.

Skim itu membantu parti Yingluck memenangi pilihan raya umum pada 2011 sebelum dia ditumbangkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2014.

Yingluck sebelum ini mendakwa menjadi mangsa hukuman politik kerajaan tentera.

Panel sembilan hakim sebulat suara mendapati Yingluck bersalah dan ketua hakim mengambil empat jam untuk membacakan penghakiman.

Mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Yingluck yang kini dipercayai berada di Dubai lokasi abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin berada.

Dalam penghakiman berkenaan, Yingluck didapati sedar bahawa anggota pentadbirannya memalsukan perjanjian beras kerajaan kepada kerajaan tetapi tidak berbuat apa-apa untuk menghentikannya.

“Tindakan ini adalah untuk kepentingan diri sendiri dengan cara yang salah. Atas sebab itu tindakan tertuduh dianggap sebagai cuai melaksanakan tugas,” katanya.

Bekas menteri kewangan Yingluck dihukum penjara 42 tahun pada bulan lalu selepas didapati bersalah memalsukan kontrak beras yang dikaitkan dengan skim subsidi itu.

Peguam Yingluck, Norrawit Larlaeng memberitahu, pihaknya berbincang sama ada mahu mengemukakan rayuan atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 9:01 AM