BEBERAPA pemimpin baju merah melambai  wartawan ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tentera di Bangkok semalam. - Reuters
BEBERAPA pemimpin baju merah melambai wartawan ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tentera di Bangkok semalam. - Reuters

Bangkok: Peguam Negara Thailand yang dilantik junta tentera mendakwa 19 pemimpin pergerakan ‘baju merah’ semalam kerana melanggar larangan mengadakan perhimpunan politik.

Barisan Bersatu untuk Demokrasi Menentang Diktator melancarkan bantahan jalanan pada 2009 dan 2010 bagi menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang disingkirkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006.

Pergerakan itu yang lebih dikenali sebagai baju merah turut melancarkan bantahan jalanan pada 2014 apabila adik Thaksin yang juga bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra digulingkan tentera.

Sejak merampas kuasa pada Mei 2014, junta tentera bertindak menghapuskan pengaruh Thaksin dan menangkap aktivis, wartawan dan penentang.

Kerajaan juga mengharamkan perhimpunan politik melebihi lima orang.

Bagaimanapun, junta tentera menafikan mereka menyasarkan penyokong Thaksin.

Semua 19 pemimpin itu ditangkap Ogos lalu kerana melanggar arahan berhimpun selepas menubuhkan satu pusat pemantauan bagi memantau proses pungutan suara draf Perlembagaan baru oleh kerajaan.

“Hari ini (semalam) Peguam Negara mengarahkan semua 19 pemimpin ini didakwa dan mahkamah menerima semua dakwaan berkenaan.

“Kami kemudian memohon mereka dibebaskan dengan ikat jamin,” kata peguam pergerakan itu, Winyat Chatmoontree. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2016 @ 5:14 AM