ANEKA sambal asli Yogyakarta penuhi selera tempatan.
ANEKA sambal asli Yogyakarta penuhi selera tempatan.
Zaitie Satibi


Menjamu selera sambil bersila, manakala meja makan dilapik surat khabar di kedai makan bukan perkara baru.

Dihidangkan 22 jenis sambal masakan Indonesia adalah keunikan ditawarkan Tempat Makan Lesehan di Seri Kembangan, Selangor.

Kedai makan yang dibuka sejak dua bulan lalu diilhamkan selepas pemiliknya, Kamarul Anuar Mohamed Nasir melawat Yogyakarta, Indonesia.

Dalam kunjungan itu, Kamarul Anuar mendapati penduduk tempatan menjamu selera di kedai makan tepi jalan sambil bersila.

“Penduduk di sana menggelar kedai makan yang terbuka di kaki lima jalan sebagai tempat lesehan dan ini mencetuskan idea menawarkan konsep sama ketika mahu membuka kedai makanan ini.

“Bagi menawarkan kelainan berbanding kedai masakan Indonesia lain, saya hidangkan 22 aneka sambal asli Yogyakarta dan setiap satunya mempunyai rasa berbeza termasuk tahap kepedasan.

“Selain sambal yang dimakan bersama nasi putih, turut ditawarkan masakan Indonesia lain secara ala carte seperti nasi goreng, pecal, mi pangsit, ayam penyet, ayam bakar dan bakso,” katanya yang mengusahakan kedai makan itu bersama adiknya, Nurul Hana.

Kamarul Anuar berkata, masakan disediakan tukang masak dari negara berkenaan tidak menggunakan cili kering sebaliknya hanya cili segar bagi menghasilkan sambal yang tahan lama dan rasa pedas terkawal serta selesa pada perut.

“Antara mendapat permintaan tinggi pelanggan adalah sambal tubruk iaitu campuran nanas dan tomato, sambal cempokak iaitu terung pipit, sambal gobal gabul (telur) dan sambal lombok ijo (lada hijau).

“Malah, nasi goreng gila yang mempunyai banyak lauk seperti ayam, daging, telur, sotong dan udang serta nasi goreng Merapi yang banyak cili padi antara juadah yang mendapat permintaan ramai,” katanya.

Sambal lain seperti teri, wader, jamur, tempe, petai, terung, tomato, tauhu, bawang, kedondong, mangga, hati ayam, paru, sotong, udang, bawang goreng, belacan dan kicap. Setiap sambal yang dihidang dalam piring kecil ditawarkan harga antara RM3 hingg RM8 mengikut jenis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:43 AM