RUHAIMI menunjukkan umbut batang pisang bahan utama gulai kawah batang pisang.
RUHAIMI menunjukkan umbut batang pisang bahan utama gulai kawah batang pisang.
GULAI batang pisang juadah tarikan utama pengunjung.
GULAI batang pisang juadah tarikan utama pengunjung.
Zaitie Satibi


Melihat foto sajian ini dalam media sosial saja sudah terliur, apatah lagi ketika menikmatinya memang boleh membuat nafsu makan bertambah.

Demikian penangan gulai kawah batang pisang yang amat popular dalam kalangan masyarakat kawasan pedalaman Kedah terutama di daerah Sik dan Baling.

Gulai batang pisang juga dikatakan hidangan wajib yang selalu disajikan setiap kali majlis kenduri kahwin.

Biarpun mendapat sambutan hangat, masakan ini susah ditemui di restoran atau kedai makan mungkin kerana penyediaannya yang sedikit rumit.

Tidak mudah mencari bahan utamanya iaitu batang pisang berikutan tidak semua jenis pisang sesuai dibuat gulai.

Bagi membolehkan sajian tradisional itu dinikmati selalu, Ruhaimi Abdul Rahman, 45, memperkenalkan gulai itu di kedai makannya, Sik Gulai Batang Pisang yang dibuka empat tahun lalu berhampiran Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang.

Menurut anak jati dari Kampung Belantik, Sik itu, batang pisang yang digunakan adalah umbut atau empulur iaitu bahagian tengah yang berwarna putih.

“Bekalan batang pisang diperoleh seminggu sekali daripada peraih di sekitar Subang.

“Gulai akan menjadi lebih sedap jika menggunakan batang pisang abu yang mempunyai rasa lemak manis atau pisang hutan yang mempunyai aroma tersendiri.

“Setiap hari saya akan menyediakan kira-kira tujuh kilogram gulai daging kambing dan tujuh kilogram lagi untuk gulai daging lembu.

“Gulai batang pisang dimasak dengan rempah istimewa itu mendapat permintaan paling tinggi dan lazimnya akan habis dahulu,” katanya.

Menurutnya, ramai menganggap batang pisang adalah ramuan biasa tanpa mengetahui ia ada khasiat tersendiri iaitu baik untuk penghadaman, selain menyingkirkan asid penyakit gout.

“Saya menyediakan gulai batang pisang sebagai menu utama kerana mahu memperkenalkan masakan tradisi Kedah kepada masyarakat luar.

“Sekurang-kurangnya generasi muda akan dapat mengenali gulai ini yang sukar ditemui,” katanya yang belajar masak gulai itu menerusi penduduk kampung ketika bergotong-royong.

Selain gulai batang pisang, Ruhaimi turut menyediakan lebih 15 masakan kampung seperti bawal goreng panas, ayam kampung goreng, gulai lemak kuning ikan jenahak, siput sedut masak lemak kuning, ikan masin tamban, asam pedas pari, ikan bakar, terung sambal dan peria telur.

Ruhaimi turut menyediakan sarapan ala kampung seperti ubi kayu rebus, keledek rebus, lempeng kelapa, lempeng pisang, nasi lemak, roti telur goyang dan kuih-muih.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 1:58 PM