ROTI Perancis pengganti nasi.
ROTI Perancis pengganti nasi.
AYAM bakar.
AYAM bakar.
TOMYAM boleh dicampur pelbagai sayuran.
TOMYAM boleh dicampur pelbagai sayuran.
ASAM pedas.
ASAM pedas.
KARI ayam pilihan enak.
KARI ayam pilihan enak.
Kusyi Hirdan


Sama ada anda wanita berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa, kesibukan menjadi sebahagian daripada hidup. Bagi yang tinggal di rumah mungkin lebih mudah merancang masa memasak berbanding yang keluar bekerja.

Ada ibu berkerjaya berasa terkilan kerana tidak dapat memasak untuk keluarganya kerana kesibukan, keletihan atau tidak mempunyai masa.

Kini semakin ramai yang tidak mahu menggunakan khidmat pembantu rumah sebaliknya menghantar anak ke rumah jiran terdekat atau ahli keluarga masing-masing sepanjang waktu bekerja.

Habis waktu kerja selepas mengambil anak di rumah pengasuh, kebanyakan ibu bapa singgah makan di gerai terlebih dulu sebelum pulang ke rumah. Anak dan suami sudah dibiasakan dengan makan di luar sepanjang masa.

Ada juga yang membeli lauk-pauk di gerai tomyam kemudian makan di rumah menjelang malam. Makan di luar atau membeli ‘lauk kedai’ lama-kelamaan membuatkan anda sekeluarga jemu. Rasanya pun mungkin tidak sesedap mana, mahal malah ada yang banyak menggunakan perasa.

Alangkah baiknya sekiranya anda boleh memasak sendiri meskipun penat! Apa yang penting, khasiat makanan tetap terpelihara kerana kita sendiri yang menetapkan bahan masakan.

Anda masih boleh memasak!

Bukanlah perlu memasak makan malam secara drastik setiap hari demi keluarga tercinta tetapi anda boleh saja memulakan masak sekali seminggu. Kemudian dua kali seminggu. Lama-kelamaan anda boleh menambah bilangannya. Apabila sudah biasa, tanpa sedar anda memasak setiap hari.

Percayalah, dengan perancangan masa dan jadual yang lengkap, anda masih boleh memasak hidangan sedap buat keluarga. Ada yang mengatakan ia bukan hanya memenatkan ketika memasak tetapi kemudian iaitu bab mengemas.

Ia juga kena-mengena dengan cara kebiasaan anda mengendalikan dapur. Ramai yang memasak tetapi dapur mereka kemas dan bersih. Apakah caranya? Jawapan biasa yang didengar, sambil memasak sambil mengemas jadi dapur tidak berkecah.

1. Senaraikan menu harian

Buat menu untuk seminggu atau dua minggu, kemudian ulang. Selepas seketika, boleh buat tambahan menu baharu yang ringkas dan sedap sesuai untuk dewasa dan kanak-kanak.

Jika mahu mencuba menu baharu, buatlah pada waktu lain misalnya waktu cuti atau masa lapang. Ini kerana anda tidak boleh membuang masa.

2. Ke pasar seminggu atau dua minggu sekali

Ini supaya anda dapat membuat perancangan dengan menu yang sudah disediakan sejak awal. Antara petua tugasan memasak lebih cepat dan tersusun adalah dengan mempunyai bahan tersedia. Apabila bahan sudah ada di rumah, anda senang memasak. Belilah bersesuaian dengan keperluan. Jangan berlebih dan membazir.

3. Segera simpan secara sistematik di dalam peti sejuk

Selepas ikan dan sayur dibersihkan, susun mengikut jadual memasak anda. Jangan simpan secara longgok kerana ia menyukarkan anda mengambilnya apabila ia beku. Ini juga memberi semangat kepada anda untuk memasak. Berbanding jika simpanan bahan basah anda sukar diambil, ini akan mengambil masa.

4. Menu biarlah ringkas

Jangan biasakan diri dan keluarga disajikan empat atau lima jenis lauk setiap waktu makan. Maksimum dua hidangan sudah memadai. Paling mudah pilih lauk yang ada kedua-duanya sekali, lauk dan sayur.

Contohnya tomyam dan sup boleh menjadi lauk utama dengan tambahan sayur-sayuran. Tambah juga kentang, tomato atau kubis di dalamnya. Ia sudah menjadi menu lengkap.

Kari ikan pula boleh ditambah terung, lobak, kubis dan sayuran lain, begitu juga asam pedas. Sayuran seperti bendi, kacang panjang dan sawi boleh ditambah dan rasanya juga enak.

5. Menu lengkap tetapi ringkas

Menu nasi goreng, mi atau bihun goreng, spagheti dan juga hidangan ayam atau daging boleh dijadikan menu lengkap dengan menambah sayur-sayuran di dalamnya.

6. Sediakan bahan menumis dan rempah lebih awal

Ikut jadual menu yang sudah anda tetapkan. Memasak makin mudah apabila bawang merah, bawang putih dan cili sudah sedia dikisar. Percayalah, ini akan memudahkan kerja serta menjimatkan masa.

Ramai yang membuat ibu sambal atau pes iaitu cili, bawang dan rempah ratus sudah siap ditumis, disimpan beku dalam bekas kecil di dalam peti sejuk. Ia harus diletakkan di tempat dingin beku supaya tahan lama.

7. Biasakan diri supaya bijak melakukan pelbagai kerja

Memang ada yang agak lembab dalam bab ini tetapi jangan dibiarkan kekal selama-lamanya. Ubahlah dan cuba bekerja dengan lebih laju. Pandai-pandailah merancang kerja memasak contohnya, memasak nasi terlebih dulu sambil membakar ayam.

Dapur sebelah pula untuk menggoreng sayur. Semuanya berjalan serentak. Setengah jam anda sudah mempunyai makanan lengkap di atas meja.

8. Memasak sambil membasuh

Ini supaya sinki tidak penuh dengan peralatan kotor. Jangan gunakan begitu banyak peralatan memasak sebaliknya guna yang sama. Selesai menggunakan mangkuk membersih ikan, terus basuh dan guna semula untuk membasuh sayur pula.

9. Dapur, sinki bersih

Pastikan dapur dan sinki anda bersih sebelum mengucapkan selamat malam. Pinggan mangkuk siap dibasuh dan tersusun rapi. Kerana anda ibu yang bekerja, latihlah suami dan anak-anak supaya ringan tulang membantu membuat air, menghidang makanan, membuang sampah, mengemas meja makan dan dapur.

Jangan menderita seorang diri. Semua ahli keluarga harus sama-sama ada tanggungjawab. Percayalah, dapur yang sentiasa bersih menaikkan minat anda untuk memasak.

10. Ada yang boleh dimasak awal

Sekiranya menu anda hari itu ialah nasi goreng, bolehlah memasak nasi lebih awal iaitu sebelum pergi kerja. Balik kerja anda boleh terus memasak. Ini akan mempercepatkan proses memasak apatah lagi bahan seperti tambahan ayam dan sayur sudah tersedia di dalam peti sejuk

11. Gantikan nasi

Latihlah keluarga anda supaya tidak menjadikan nasi makanan wajib mereka setiap hari. Selang-seli dengan menu lain seperti mi, bihun, spageti, roti dan capati. Mereka harus dilatih tanpa tambahan nasi pun masih boleh kenyang.

Cadangan menu ringkas makan malam untuk dua minggu:

Minggu pertama:

• Isnin - Nasi putih + tomyam ayam bersayur + telur dadar (Anggaran masa siap 30 minit), manakala tomyam boleh ditukar sama ada tomyam kuah putih atau merah

• Selasa - Nasi goreng (15 minit). Nasi dimasak awal. Tambahkan ayam atau daging dan sayur ke dalam nasi goreng.

• Rabu - Roti Perancis + ayam bakar + sup sayur (20 minit). Pilihan roti juga pelbagai sama ada roti Perancis, roti bulat atau croissant

• Khamis - Bihun goreng atau bihun sup (20 minit). Tambahkan ayam atau daging dan sayur ke dalam hidangan.

• Jumaat - Daging bakar + roti bulat + salad sayuran (20 minit). Daging diperisakan dengan sedikit garam dan herba seperti oregano atau bawang putih

• Sabtu

- Sarapan - Roti bakar (10 minit)

- Makan tengah hari dan malam - Nasi ayam (nasi + ayam + sup + salad) - 30 minit. Jangan biasakan memasak siang dan malam. Sediakan lebih supaya tahan dimakan sehingga ke malam. Anda juga penat bekerja sepanjang minggu.

• Ahad

-Sarapan - Lempeng (15 minit)

-Makan tengah hari - Nasi putih + sup daging bersayur + telur dadar (30 minit)

Minggu kedua:

• Isnin - Nasi putih + sambal ikan + ulam timun (30 minit). Ulam-ulam boleh dipelbagaikan.

• Selasa - Nasi putih + udang masak kicap berkentang (20 minit).

• Rabu - Roti Perancis + kari ayam + salad tomato (20 minit).

• Khamis - Mi hailam atau spageti bebola daging (20 minit). Pes kuah spageti boleh dibuat awal dan disimpan beku.

• Jumaat - Roti bulat + ikan salmon bakar dan sayur +sos cili (20 minit). Sekiranya tidak menggemari ikan salmon, boleh tukar dengan ikan lain.

• Sabtu

-Sarapan - Bubur oats dan buah (10 minit)

-Makan tengah hari dan malam - Nasi putih, asam pedas ikan berterung (30 minit). Sayur di dalam asam pedas boleh ditukar mengikut selera.

• Ahad

-Sarapan - Nasi lemak + telur rebus + timun (30 minit). Pes sambal sudah disediakan awal

-Makan tengah hari dan malam - Nasi tomato + ayam masak merah + acar sayur (30 minit)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2017 @ 11:14 AM