DEKORASI paling mudah supaya ruang dalam bangunan tampak lebih menarik.
DEKORASI paling mudah supaya ruang dalam bangunan tampak lebih menarik.
Oleh Zaitie Satibi


KEHIJAUAN pokok bukan saja mampu memberi ketenangan, malah dapat menaikkan seri pada ruang kediaman. Kebelakangan ini, tular dedaun pokok pisang dalam pasu tiruan yang menjadi hiasan sudut rumah.

Biarpun sekadar pokok tiruan, ia dapat menceriakan kediaman. Kelebihan pokok tiruan adalah ia tidak layu dan nampak segar sepanjang masa.

Jika menggemari hiasan pokok tiruan, anda boleh menukar mengikut musim dan menceriakan ruangan kediaman atau pejabat pada bila-bila masa yang anda mahu.

Bagi peminat dekorasi kediaman, hiasan pokok pisang memang jadi kegilaan untuk mencantikkan ruang sehingga ramai yang sanggup membelinya walaupun harganya mencecah ratusan ringgit mengikut ketinggian antara 115 sentimeter (sm), 160sm, 190sm dan 220sm.

Pokok pisang tiruan juga dekorasi yang paling mudah supaya ruang dalam bangunan tampak lebih menarik. Ramai peminat dekorasi membuat perkongsian di laman media sosial mengenai langkah membuat penataan pokok di rumah supaya kediaman tampak lebih segar dan meriah walaupun dalam dekorasi yang minimalis.

Malah, ciri-ciri pokok pisang tiruan yang tahan kepada angin, sinaran matahari, mesra plastik, tidak bertoksik, tekstur daun dan batang yang boleh dilentur pelbagai bentuk sesuai untuk hiasan dalaman dan luaran.

Proses penjagaannya juga ringkas dan mudah, hanya membersihkan habuk menggunakan air dan sedikit campuran pelembut kain. Lazimnya, pasu dibekalkan bersama pokok, malah warna hijau sama seperti daun pisang sebenar memberikan rona yang menghidupkan pemandangan ruang anda.

Bagi menghiasnya, pokok pisang tiruan sesuai untuk pelbagai ruang sama ada di ruang tamu, balkoni, bilik air atau sudut tertentu. Potongan pokok yang tinggi boleh diletakkan di sudut kosong atau balkoni, manakala potongan rendah di ruang tamu atau bilik air.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:00 AM