RUANG tamu yang selesa.
RUANG tamu yang selesa.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

RUMAHKU, Syurgaku. Menetap di kuarters dengan keluasan terhad tidak seharusnya menjadi halangan anda untuk memiliki kediaman impian.

Asalkan ada kemahuan dan sedikit kreativiti, keluasan kediaman yang terhad boleh tampak luas serta selesa untuk didiami.

Bagi pasangan, Nur Atikah Mohd Kamil dan Raja Khairi Alif Raja Majid menetap di kuarters kediaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak setahun lalu memberi idea untuk menghias rumah mengikut cita rasa mereka.

Rumah jenis pangsapuri seluas 1,200 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air itu dihias menarik serta berada dalam kelas tersendiri.

Memasuki ruang tamu, bagaikan berada di rumah contoh kerana semuanya tersusun dan dihias menarik.

Menurut Nur Atikah, kebanyakkan perabot adalah daripada jenama IKEA dengan pilihan rona pastel seperti putih kerana praktikal serta lebih mudah untuk disuai padan.

KOMBINASI dekorasi rona pastel yang menarik.
KOMBINASI dekorasi rona pastel yang menarik.

KELUASAN terhad ruang makan dan dapur tidak menjadi halangan untuk dihias menarik.
KELUASAN terhad ruang makan dan dapur tidak menjadi halangan untuk dihias menarik.

Selain itu, perabot rona putih juga menepati tema dekorasi minimalis kediaman berkenaan.

"Kami ukur baju di badan sendiri, semua perabot di rumah ini dibeli sedikit demi sedikit.

"Idea dekorasi pula kebanyakannya datang dari bacaan di Internet, Pinterest serta info yang dikongsikan di laman Kelab Dekorasi Ikea," katanya yang juga jururawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurut Nur Atikah, sebelum membeli sebarang perabot, dia akan meneliti beberapa aspek terutama dari segi saiz, harga dan fungsi memandangkan kediaman itu berkeluasan terhad.

Untuk dekorasi pula, Nur Atikah berkata, ia bergantung kepada keluasan dengan konsep suai padan.

Misalnya untuk ruang balkoni, walapun sempit, tetapi dia dan suami tidak mahu ia dibiarkan kosong.

HIASAN ringkas namun tampak elegan.
HIASAN ringkas namun tampak elegan.

POKOK tiruan menyerikan lagi ruang kediaman.
POKOK tiruan menyerikan lagi ruang kediaman.

"Justeru, hiasan ringkas dengan batuan sungai, jubin batu dan pokok hiasan dapat menyerikan lagi ruang selain boleh dijadikan sebagai tempat bersantai.

"Bagi saya, tidak kira rumah sendiri atau rumah sewa, yang penting perlu ada minat untuk menjaga dan menjadikan kediaman itu sebagai syurga keluarga.

"Tiada masa bukan alasan kerana jika rumah kemas dan bersih, kehidupan lebih selesa serta tenang," katanya.

Dalam pada itu, kreativiti Nur Atikah dalam menghias rumah turut menjadi rujukan rakan-rakannya untuk mendekorasi kediaman mereka.

Dia yang berkemahiran dalam menggubah bunga juga tidak lokek berkongsi idea dengan rakan-rakannya dan turut membantu mereka jika mempunyai kelapangan masa.

"Saya minat dekorasi dan menggubah bunga namun ia tidak dapat dilakukan dengan kerap kerana kekangan masa serta komitmen kerja.

"Menghias kediaman supaya kelihatan cantik serta selesa adalah terapi dan saya gembira jika dapat melakukannya," katanya yang memasang impian memiliki rumah idamannya suatu hari nanti.

BALKONI tidak dibiarkan kosong dan dihias dengan pokok hiasan.
BALKONI tidak dibiarkan kosong dan dihias dengan pokok hiasan.

POKOK hiasan yang mudah dijaga.
POKOK hiasan yang mudah dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 7:01 AM