KREATIVITI Danny yang menarik perhatian.
KREATIVITI Danny yang menarik perhatian.
Zaitie Satibi


KITA masih dalam kemeriahan rumah terbuka Syawal yang dirai dengan penuh rasa kesyukuran.

Lazimnya tuan rumah menitikberatkan hiasan rumah idaman dan perkakas untuk hidangan jamuan kepada rakan, tetamu serta keluarga.

Bermula dari ruang tamu dan meja makan dengan bufet kuih-muih serta juadah raya menggunakan perkakas dengan sentuhan sebenar musim perayaan untuk menyambut tetamu.

Bagi menaikkan seri ruang tamu atau ruang makan, cara paling mudah adalah menghiasnya dengan bunga sama ada bunga segar atau bunga tiruan.

Kini ada banyak pilihan bunga tiruan yang bukan saja boleh bertahan lama dan ditukar gubahannya berbanding bunga segar yang hanya boleh bertahan beberapa hari sebelum layu.

Pengarah Seni Promosi Produk Visual SSF, Danny Lock berkata, menerapkan nilai tumbuhan dalam kediaman sama ada bunga-bungaan atau pokok hijau mampu memberi impak segar dalam rumah.

Hiasan kediaman yang cantik bukan hanya terletak pada perabot mewah atau moden, kerana elemen hijau turut memainkan peranan penting untuk mencantikkan ruang kediaman.

“Serikan ruang kediaman anda dengan pokok hiasan, malah kini terdapat pelbagai teknik mengabadikan elemen hijau dalam kediaman yang boleh anda terapkan sebagai hiasan sempena hari raya.

“Meletakkan bunga-bungaan sahaja boleh meningkatkan suasana sesuatu ruangan secara drastik. Biar pun hanya gubahan bunga yang kecil ke dalam pasu di satu sudut sesebuah bilik secara estetikanya akan menyerlahkan lagi keindahan bilik berkenaan,” katanya pada bengkel Raikan Raya Bersama SSF bagi membantu orang ramai membuat persiapan raya, baru-baru ini.

Dalam bengkel berkenaan Danny berkongsi ilmu dengan menunjukkan langkah demi langkah menggubah jambangan bunga tiruan untuk hiasan di meja makan, meja kopi dan almari cermin yang biasa diletakkan di ruang tamu.

Menurut Danny, bunga memainkan peranan penting dalam menghiasi sebarang acara, malah jika diolah dengan baik ia juga mampu menjadi titik tumpuan apabila sanak-saudara berkumpul. Hiasan bunga-bungaan juga membolehkan tuan rumah memberi sentuhan peribadi pada kediaman mereka yang pastinya membuatkan tetamu terpesona.

“Penganjuran bengkel ini memberi inspirasi kepada mereka bahawa gubahan jambangan bunga untuk dekorasi bukan sekadar hobi semata-mata, sebaliknya ia juga satu cabang kesenian yang mampu menyerlahkan kreativiti diri.

“Gubahan bunga memberi sentuhan lembut pada tata gaya dekorasi. Hiasan berbentuk tumbuhan ini melengkapkan dekorasi jika diletakkan di ruangan tertentu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 12:03 PM