KETUA Eksekutif BSN, Jay Khairil. FOTO arkib NSTP
KETUA Eksekutif BSN, Jay Khairil. FOTO arkib NSTP

Hadzlan Hassan

[email protected]

Kuala Lumpur: Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) meneruskan agenda pembangunan usahawan di negara ini dengan memperluas akses kepada jaminan pembiayaan perniagaan melalui skim pembiayaan BizJamin-i Micro TemanMesra.

Skim berkenaan bertujuan memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Menyedari keperluan sokongan berterusan yang diperlukan oleh usahawan di Malaysia, khususnya usahawan mikro, BSN dan CGC bekerjasama sejak 2017 untuk menyampaikan inisiatif pembangunan usahawan melalui Skim Jaminan Portfolio Mikro (PG Micro) dan Skim Jaminan Borong (WG).

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, skim jaminan yang ditawarkan adalah untuk memudahkan usahawan PMKS menikmati bantuan pembiayaan kompetitif tanpa sebarang cagaran dengan memanfaatkan bantuan disediakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi dana kemudahan perusahaan mikro (Micro Entreprises Facility (MEF)).

Menurutnya, melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan, kerjasama itu berjaya memperkasakan PMKS terutama dalam tempoh pandemik seperti pakej rangsangan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) di bawah Bank Negara Malaysia.

"Skim ini sudah memanfaatkan lebih 3,000 usahawan mikro dengan jumlah pembiayaan melebihi RM100 juta.

"BSN berbesar hati meneruskan kerjasama dengan CGC dalam memperkasakan PMKS melalui pelancaran 'BizJamin-i Micro TemanMesra'. Kerjasama ini menekankan komitmen BSN dan CGC dalam menyediakan PMKS dengan jaminan akses kepada pembiayaan," katanya.

Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif, Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, kerjasama antara BSN dan CGC akan memberi peluang pembiayaan kepada PMKS terutamanya usahawan mikro dalam membangunkan perniagaan mereka dan juga memudahkan akses untuk pembiayaan.

"Dengan jaminan CGC, ia akan meningkatkan peluang usahawan mikro untuk mendapatkan pembiayaan daripada BSN, memandangkan pendedahan risiko bank diturunkan dengan perlindungan jaminan 70 peratus oleh CGC.

"Skim ini berasaskan konsep "Model Jaminan Pertama" dan membolehkan usahawan mikro memohon pembiayaan mikro BSN melalui 16 cawangan CGC di seluruh negara," katanya.

Menurutnya, golongan usahawan mikro yang layak akan dibantu melalui pembiayaan bermula daripada RM5,000 sehingga RM50,000 dengan tempoh pembiayaan antara 1 hingga 5 tahun berserta kadar keuntungan yang menarik.

Skim pembiayaan BizJamin-i Micro TemanMesra adalah skim pembiayaan fleksibel dengan perlindungan jaminan yang membolehkan usahawan memajukan perniagaan mereka, menambah modal kerja dan membeli aset perniagaan dengan perlindungan jaminan yang disediakan oleh CGC.

Selain itu, usahawan juga akan diberikan khidmat nasihat dan peluang latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 4:02 PM