PERUSAHAAN mikro dalam semua jenis sektor perniagaan beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan.
PERUSAHAAN mikro dalam semua jenis sektor perniagaan beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan.
Sri Ayu Kartika Amri


BANK Simpanan Nasional (BSN) menawarkan skim pembiayaan mikro di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) yang dibuka mulai semalam.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil berkata, Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga adalah pembiayaan diperuntukkan di bawah Bajet 2022.

Katanya, melaluinya, RM800 juta diperuntukkan bagi membantu rakyat Malaysia secara berterusan terutama kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk kembali pulih akibat pandemik Covid-19.

"BSN menggalakkan usahawan mikro di luar sana mendapatkan Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga bagi membantu menjana pendapatan sekali gus mengembalikan keupayaan serta daya tahan perniagaan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga itu kesinambungan daripada beberapa fasiliti terdahulu yang menyaksikan BSN membantu lebih 50,000 pelanggan dengan jumlah pembiayaan RM1.4 bilion.

BSN menawarkan jumlah pembiayaan sehingga RM75,000 pada kadar empat peratus (kadar asas tetap) untuk tempoh pembiayaan sehingga 5.5 tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) bagi enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan.

Melalui skim itu, perusahaan mikro dalam semua jenis sektor perniagaan yang beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan boleh memohon pembiayaan sama ada bagi tujuan modal kerja atau pembelian aset untuk kegunaan perniagaan.

Namun, bagi Skim Pembiayaan BSN Micro/i Semarak Mula, perniagaan mestilah beroperasi sekurang-kurangnya tiga bulan.

Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga menawarkan tujuh pilihan pembiayaan iaitu BSN Micro/i Semarak Mula, khusus kepada individu yang kehilangan pekerjaan dan graduan universiti dan atau vokasional yang ingin memulakan perniagaan.

BSN Micro/i Semarak PEDi kepada peserta berdaftar dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang menceburi bidang perniagaan terutama bagi mereka di kawasan luar bandar.

BSN Micro/i Semarak Tani bagi pengusaha perniagaan tradisional seperti kraftangan dan berasaskan pertanian, pasar malam/pasar tani.

Seterusnya, BSN Micro/i Semarak Sukan untuk perusahaan mikro dimiliki pengusaha fasiliti sukan dan BSN Micro/i Semarak Nita bagi perusahaan mikro dimiliki usahawan wanita yang berkecimpung dalam bidang perniagaan.

BSN Micro/i Semarak Belia untuk perusahaan mikro yang dimiliki usahawan belia berusia 30 tahun dan ke bawah dan BSN Micro/i Semarak pula terbuka kepada semua perusahaan mikro yang layak dalam semua sektor perniagaan.

Untuk maklumat mengenai Skim Pembiayaan BSN Micro/i SemarakNiaga atau produk BSN lain, boleh layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 7:00 AM