CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd, menjalin perkongsian strategik dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC). FOTO Muhd Zaaba Zakeria
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd, menjalin perkongsian strategik dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC). FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Suffian A Bakar


CIMB Group, menerusi anak syarikatnya CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd, menjalin perkongsian strategik dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC).

Pengerusi CIMB Islamic Bank, Datuk Mohamed Ross Mohd Din berkata, ia bertujuan membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan mengakses pembiayaan RM2 bilion menerusi skim Jaminan Portfolio-i CGC.

“Skim pembiayaan itu bakal menyaksikan CIMB Bank dan CIMB Islamic mengagihkan sehingga RM2 bilion melalui Jaminan Portfolio-i, pembiayaan modal kerja Islam yang mana 70 peratus daripada jumlah pinjaman dijamin CGC, tanpa cagaran.

“Jumlah pembiayaan adalah sehingga RM1 juta bagi setiap pelanggan, dengan tempoh maksimum tujuh tahun,” katanya pada majlis pemeteraian perkongsian strategik itu di Kuala Lumpur, hari ini.

CIMB diwakili Ketua Perbankan PKS Malaysia, Perbankan Komersil Kumpulan CIMB Bank, KJ Balan manakala CGC diwakili Ketua Pegawai Perniagaannya, Leong Weng Choong.

Hadir sama, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd lshak; Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Islam Kumpulan, CIMB Group, Rafe Haneef.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Zamree berkata, sepanjang enam tahun yang lalu, kedua-dua CIMB dan CGC berjaya melancarkan 13 skim Jaminan Portfolio berjumlah RM1.4 bilion, yang memberi manfaat kepada 2,000 PKS.

Beliau berkata, terkini CGC menguruskan 45 skim jaminan dan pembiayaan, termasuk 16 skim disokong kerajaan.

Ketika ini, 17 bank komersial, 15 bank Islam dan tujuh Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) mengambil bahagian dalam skim jaminan CGC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2019 @ 6:02 PM