MOHD Zamree
MOHD Zamree

Kuala Lumpur: Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) menawarkan pembiayaan BizBina-i untuk membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang terjejas operasi perniagaan akibat banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata, skim pembiayaan BizBina-i membantu pelanggan PMKS sedia ada yang berdepan cabaran akibat bencana alam itu.

"Pelanggan PMKS adalah keutamaan kami dan kami komited untuk membantu mereka mengekalkan operasi perniagaan dalam tempoh yang sukar ini," katanya dalam kenyataan.

Skim ini ditawarkan kepada semua pelanggan PMKS sedia ada untuk meringankan beban kewangan dan membantu mereka meneruskan operasi perniagaan.

Skim pembiayaan BizBina-i ini ialah skim pembiayaan langsung untuk PMKS memperoleh pembiayaan sehingga RM200,000 (tertakluk kepada terma dan syarat) dengan tempoh sehingga lima tahun enam bulan (termasuk moratorium enam bulan ke atas prinsipal dan keuntungan).

PMKS boleh memanfaatkan kemudahan BizBina-i sebagai modal kerja dan/atau pemerolehan aset yang membolehkan mereka membaiki dan membeli aset untuk kegunaan komersial serta menggantikan aset yang rosak ketika banjir.

Mohd Zamree berkata, CGC akan terus menyokong dan menawarkan perkhidmatan kepada PMKS untuk membantu mereka dalam tempoh kecemasan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 8:49 AM