KARL Shafeek (tengah) bersama Muhammad Hazim  (kiri) dan Khairul  Amilin pada  sidang media Maha Buffet 2024 di Bangi. FOTO Hairul Anuar Rahim
KARL Shafeek (tengah) bersama Muhammad Hazim (kiri) dan Khairul Amilin pada sidang media Maha Buffet 2024 di Bangi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pesta makanan terbesar di Malaysia, Maha Buffet 2024 bakal diadakan dengan skala mega berbanding tahun lalu bermula pada 14 Mac sehingga 8 April di Dewan A, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, Selangor.

Acara itu sekali lagi menggabungkan dua restoran popular iaitu Mak Kimbong dan Experiment Kitchen.

Pemilik Experiment Kitchen, Muhammad Hazim Yahaya berkata, pihaknya menganggarkan 54,000 pengunjung ke pesta makanan itu, berbanding 27,000 pengunjung pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, Maha Buffet menyediakan lebih 200 menu gabungan dua restoran itu yang berkonsepkan street food di bawah satu bumbung.

"Ruang dewan cukup besar juga bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti lain, antaranya ruang mainan gergasi untuk kanak-kanak, selain ruang solat jemaah luas, 'game' percuma untuk remaja, gerai beli-belah kelengkapan hari raya di Bazar Gadis, hari potong rambut percuma serta photobooth dengan kamera 360 yang boleh dijadikan kenangan terindah buat tetamu.

"Kami sangat mementingkan keselesaan pelanggan terutamanya mereka yang ada anak kecil, jadi kami harapkan ruang seperti Kids Playland akan membantu ibu bapa makan dengan tenang, dan tidak perlu risaukan keselamatan anak mereka.

"Selain itu, turut disediakan hidangan dimasak dan resipi oleh selebriti, Karl Shafek sendiri kerana jarang peminat dapat merasa masakan artis kesayangan mereka," katanya.

Sementara itu, pemilik Restoran Mak Kimbong, Khairul Amilin Abdul Rahman berkata, pelbagai hadiah ditawarkan kepada pengunjung termasuk hadiah utama berupa kereta.

"Antaranya, barangan elektrik, baucar beli-belah, tiket penerbangan dan hadiah utama adalah kereta misteri yang akan diberikan pada minggu pertama Maha Buffet berlangsung.

"Pelanggan boleh merancang untuk menyambut hari lahir serta pilihan untuk makan di tempat duduk VIP dengan kadar bayaran yang berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 11:41 AM