PESERTA  giat menyiapkan pelbagai tema lukisan mural sempena  sambutan ulang tahun ke-15 Bandaraya Melaka Bersejarah, semalam.
PESERTA giat menyiapkan pelbagai tema lukisan mural sempena sambutan ulang tahun ke-15 Bandaraya Melaka Bersejarah, semalam.
HM Digital

Melaka: Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan kerjasama Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (IYCM) menganjurkan pertandingan melukis mural antara penuntut universiti awam (UA) bagi menambah keceriaan pemandangan sekitar bandar raya ini.

Pertandingan sempena sambutan ulang tahun ke-15 Bandaraya Melaka Bersejarah itu diadakan di Taman Melaka Raya, di sini.

Pengarah projek, Mohamad Nawawi Saad, berkata, seramai 60 peserta terdiri daripada 12 pasukan menyertai pertandingan bertujuan mewujudkan street art yang menarik dan kreatif sebagai satu daripada daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.

Katanya, antara UA yang menyertai pertandingan ini ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Lendu, ICYM, Kolej Komuniti Jasin dan Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCoST).

“Ia juga secara tidak langsung mewujudkan jalinan kerjasama antara MBMB, ICYM dan UA yang berkaitan serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Pertandingan juga mampu mencungkil bakat penuntut yang mengikuti bidang kreatif seperti mereka yang mengambil jurusan pereka grafik, animasi, fine art dan seni bina,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 8:18 AM