SHEIKH Muhammad Nabil ungguli  Foto Agrobank X Unise) Farm Food.
SHEIKH Muhammad Nabil ungguli Foto Agrobank X Unise) Farm Food.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Penuntut Diploma Fotografi, Sheikh Muhammad Nabil Mohammad Khairuddin muncul pemenang utama pertandingan Foto Agrobank X Universiti Selangor (Unisel) Farm Food.

Kemenangan itu melayakkan Sheikh Muhammad, 21, memenangi wang tunai RM2,000.

Selain itu, Sheikh Muhammad turut memenangi wang tunai RM1,000 selepas mendapat tempat pertama kategori Farm To Fork.

Menurut Sheikh Muhammad, dia bersyukur dengan kemenangan diraih malah tidak sangka terpilih sebagai pemenang utama.

"Saya ambil bahagian dalam dua kategori iaitu Farm To Fork dan All About Crops.

"Bagaimanapun, rezeki menyebelahi saya dalam kategori Farm To Fork menerusi gambar pensyarah membersihkan tasik.

"Gambar itu diambil pada waktu petang dekat tasik di kawasan kampus saja dan tak sangka ia dapat menambat hati juri," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di The Westin, di sini, hari ini.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Dekan Fakulti Komunikasi Seni Visual dan Pengkomputeran Unisel Ts Dr. Wan Alan Wan Hassan @Wan Harun dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam Agrobank, Shahreen Rahim.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pertandingan foto yang bertemakan Farm & Food itu adalah inisiatif kerjasama Agrobank dan Unisel bertujuan mengetengahkan bakat serta memberi peluang kepada penuntut untuk meneroka spektrum baharu dalam bidang seni fotografi melalui platform media sosial.

"Sebagai sebuah bank yang mendukung dan memahami bidang pertanian dan penternakan, kami di Agrobank secara berterusan akan terus membuka lebih banyak peluang dengan menganjurkan inisiatif sebegini.

"Inisiatif itu bukan saja bertujuan memupuk kemahiran kreatif malah membuka peluang kepada penuntut universiti tempatan memenangi hadiah menarik yang ditawarkan oleh Agrobank," katanya.

AHMAD Shahreen (kanan) bersama Dr Wan Azlan (belakang kiri) bergambar bersama pemenang. FOTO Hazreen Mohamad
AHMAD Shahreen (kanan) bersama Dr Wan Azlan (belakang kiri) bergambar bersama pemenang. FOTO Hazreen Mohamad

Pertandingan Foto Agrobank x Unisel berlangsung daripada 17 September sehingga 16 November tahun lalu dengan tema Farm & Food yang menerapkan empat elemen utama sebagai sub kategori pertandingan iaitu All About Animal, Farm Scenes, All About Crop dan Farm to Fork.

Hasil karya penuntut Unisel yang mengambil bahagian dinilai oleh dua juri profesional industri fotografi iaitu Rahman Roslan dari Austral Media Sdn Bhd dan Azneal Ishak dari MalaysiaKini.

Hasil penjurian, 12 karya terbaik dipilih untuk dipamerkan pada satu pameran mini bermula 7 sehingga 17 Februari lalu di Gloria Jean's Menara Agrobank, Kuala Lumpur.

Tujuh pemenang utama membawa pulang hadiah wang tunai di antara RM500 ke RM2,000 bagi setiap pemenang.

Manakala 10 penyertaan turut dipilih untuk memenangi hadiah sagu hati iaitu baucar bagi setiap pemenang.

Antara pemenang pertandingan itu adalah Windi Tri Astika yang memenangi tempat kedua kategori Farm To Fork dan membawa pulang wang tunai RM800 selain tempat pertama kategori All About Crops bersama hadiah RM1,000.

Wan Siti Khairunnisa Wan Mohd Nordin pula memenangi tempat pertama dan kedua kategori Farm Scenes (RM1,000 dan RM800) manakala Muhammad Afif Fauzan Adnan mendapat di tempat ketiga dalam kategori itu (RM500).

Kategori All About Animals pula menyaksikan Mohamad Faris Aidid Azni di tempat pertama (RM1,000), Iskandar Abdul Rahim di tempat kedua (RM800) dan Azril Aziz Mohamad Rashid di tempat ketiga (RM500).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Februari 2022 @ 6:51 PM