Hamizah Badiran

Kuala Lumpur: Program Street Attack menjelang 30 hari Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di ruang legar pusat beli-belah Fahrenheit 88 di Bukit Bintang, semalam berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti menarik.

Acara penuh warna-warni anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) itu bertujuan mendekati orang ramai dalam usaha mempromosi dan menguar-uarkan penganjuran MAHA 2018 yang bakal diadakan pada 22 November hingga 2 Disember depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Antara aktiviti yang berlangsung adalah persembahan tarian tradisional zapin pertanian, gimik flashmob, edaran risalah bercetak dan nyanyian lagu tema MAHA 2018 berjudul Hang Pi MAHA dendangan Yabang Khalifah.

Selain kunjungan orang ramai di sekitar kawasan berkenaan, hadir sama memeriahkan suasana ialah Pengarah Sekretariat MAHA 2018, Azman Mohd Saad dan selebriti popular, Faizal Ismail.

Menurut Azman, MAHA 2018 diadakan bagi memastikan bidang pertanian dan industri asas tani kekal relevan serta terus maju dengan kepentingan teknologi dan inovasi pertanian (agroteknologi) dalam industri agromakanan negara.

“Masih mengekalkan tema Makanan Kita, Masa Depan Kita, sebanyak 13 pavilion negeri akan dibuka di MAHA 2018 yang menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan 501 menu juadah makanan dari seluruh negeri untuk disajikan kepada pengunjung pada tahun ini.

“Nikmati juga pengalaman menyeronokkan bertani secara langsung di semua halaman seperti laman perikanan, laman nanas, laman ternakan dan sebagainya.

“Menjelang 30 hari MAHA 2018, jumlah hasil kutipan tajaan setakat ini hampir RM5.5 juta dan rakan strategik pula sebanyak 35 syarikat serta individu.

“Kami juga menjangkakan penganjuran kali ini akan menarik lebih 3.5 juta pengunjung,” katanya selepas mengetuai program berkenaan di sini, semalam.

PERSEMBAHAN tarian zapin jadi tumpuan pengunjung di hadapan Fahrenheit 88.
PERSEMBAHAN tarian zapin jadi tumpuan pengunjung di hadapan Fahrenheit 88.

Kata Azhar, MAHA 2018 turut mendapat sambutan memberangsangkan sebagai platform perniagaan yang menguntungkan apabila semua 1,500 gerai pameran ditawarkan habis ditempah penggiat industri pertanian dan agromakanan negara.

Program tidak terhenti di situ apabila pihak penganjur dan jemputan ‘menyerang’ pula lokasi berikutnya iaitu pusat beli-belah Sogo dan Jakel Square untuk menemui orang ramai di sana dengan menaiki bas KL Hop On Hop Off.

Sementara itu, kakitangan swasta, Izhar Mohd Noor berkata, program Street Attack ini sesuatu yang menarik dan memberi kelainan dalam usaha mempromosikan MAHA 2018 apabila turut membabitkan penyertaan golongan belia.

“Cara MOA mempromosikan MAHA 2018 pada tahun ini lebih menyeronokkan untuk menarik perhatian dan mempelawa masyarakat mengunjungi MAHA bulan depan dan saya berharap penganjurannya berjaya seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya yang datang bersama keluarga.

Selepas ini, MOA juga bakal menganjurkan program konvoi motosikal bermula dari ibu pejabat Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Puchong, Selangor, menuju ke utara dan berakhir di Perlis untuk mempromosikan MAHA 2018.

ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama peserta Flashmob.
ORANG ramai mengambil peluang bergambar bersama peserta Flashmob.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 10:24 AM