MOHD Hafiz  bersama produk  Figura Junior.
MOHD Hafiz bersama produk Figura Junior.

Kuala Lumpur: Pengeluar produk kesihatan pertama, Figura (M) Sdn Bhd (Figura International) menyasarkan melahirkan 10,000 usahawan baharu terdiri dari golongan berpendapatan rendah (B40) menjelang 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hafiz Khalid berkata, pihaknya memberi fokus kepada golongan B40 terutama suri rumah dan ibu tunggal untuk membantu mereka menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan, dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Katanya, syarikat optimis sasaran itu dicapai berdasarkan peningkatan mendadak jumlah ejen yang meningkat setiap bulan, segmen produk baharu dan persediaannya untuk memasuki pasaran global.

"Dalam kesuraman iklim ekonomi yang semakin mencabar selepas pandemik Covid-19, golongan B40 harus bangkit dari kemelut ekonomi itu dan mencari peluang memperkasa ekonomi keluarga mereka.

"Program ini berlangsung lima bulan dan kita memastikan ia berjaya mengangkat ekonomi golongan B40 termasuk suri rumah ke tahap lebih tinggi," katanya.

Katanya, melalui sistem mentor, 32 ejen daripada latar belakang berbeza termasuk suri rumah dan ibu tunggal terpilih untuk terbabit dalam program ini dan mereka akan dibantu dan diberi bimbingan.

"Saya yakin program ini menjadi pencetus kepada kebangkitan golongan B40 khususnya golongan wanita yang terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal yang kini menjadi ketua dalam menjana ekonomi keluarga," katanya.

Menurutnya, syarikat turut memperkenalkan produk baru, Figura Junior yang dihasilkan bebas bahan kimia tanpa gula menjadikannya sebagai makanan tambahan pilihan untuk setiap pelajar dan seisi keluarga.

Katanya, Figura Junior diformulasi daripada bahan semula jadi seperti maqui beri, gingko biloba, safron dan Fructo Oligosaccharides (FOS) mengandungi khasiat seperti vitamin, mineral, serat dan nutrien terbaik menjadikan sebagai makanan tambahan untuk kesihatan usus dan menguatkan sistem imun.

Figura International, pengeluar produk kesihatan pertama di Malaysia yang disokong tiga pakar perunding dan penyelidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof Emeritus Datuk Dr  Abdul Latiff Mohamad,  Prof  Dr  Wan Aida Wan Mustapha dan Prof Dr Noor Hassim Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 7:01 AM