Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Inisiatif kerajaan untuk memperluas agenda rahmah dalam institusi kewangan dan insurans mungkin tidak susah untuk dilaksana.

Pakar ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ini kerana sektor itu termasuk perbankan mempunyai pelbagai produk, insurans dan takaful yang boleh dijenama semula.

Katanya, apa yang penting adalah jenis produk yang mahu diketengah bagi inisiatif terbabit dan ia perlu mencapai hasrat sebenar membantu golongan B40.

"Apabila inisiatif rahmah dicadangkan untuk diperluas kepada produk perbankan dan insurans atau takaful, kita patut bertanya apakah itu satu kehendak masyarakat Malaysia amnya?

"Maksudnya apakah perkhidmatan perbankan dan takaful mahal untuk golongan B40, adakah nanti akan ada permintaan daripada mereka?

"Bagaimanapun, banyak institusi berlesen mengendalikan perkhidmatan ini dan sekiranya mahu diwujudkan produk rahmah, ia mungkin tidak menjadi masalah kerana institusi hanya perlu mengolah produk sedia ada kepada segmen yang baharu dicipta iaitu segmen rahmah," katanya kepada Harian Metro.

Dr Aimi Zulhazmi tidak menolak kemungkinan akan ada institusi yang menguruskan inisiatif rahmah secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Ini kerana margin keuntungan mungkin mengecil dengan produk demikian, tetapi ia satu usaha yang murni di mata masyarakat," katanya.

Beliau berkata, ketika ini jenama rahmah mendapat sambutan baik apabila ditawar dalam barang keperluan dan makanan rakyat berikutan semua pihak terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan inflasi.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub dilapor akan bertemu syarikat kewangan termasuk bank tempatan, untuk mencari peluang penawaran inisiatif perbankan bersifat rahmah kepada rakyat yang terkesan dengan cabaran ekonomi hari ini.

Beliau dilapor berkata, antara inisiatif rahmah yang boleh diusahakan dengan pihak bank adalah pinjaman khas kepada golongan B40 dan golongan yang memerlukan.

Kementerian itu juga sudah bertemu dengan syarikat insurans kenderaan untuk mewujudkan insurans rahmah bertujuan membantu pengguna jalan yang terkesan dengan kenaikan kos membaiki kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 4:06 PM