MOHD Hafiz (kanan) bersama pemenang hadiah utama Cabutan Figura Extravaganza, Nasrah Kasa (dua dari kiri).
MOHD Hafiz (kanan) bersama pemenang hadiah utama Cabutan Figura Extravaganza, Nasrah Kasa (dua dari kiri).
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Figura (M) Sdn Bhd (Figura International), syarikat pengeluar produk kesihatan, optimis untuk meneroka pasaran seluruh Malaysia terutama di Sabah dan Sarawak menjelang tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Hafiz Khalid berkata, pihaknya juga komited untuk melantik 10,000 ejen di seluruh negara, dalam usaha meluaskan pemasaran produk Figura International yang semakin mendapat permintaan pengguna.

Katanya, Figura International adalah pengeluar produk kesihatan pertama di Malaysia yang disokong tiga pakar perunding dan penyelidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) iaitu Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Latiff Mohamad, Prof Dr Wan Aida Wan Mustapha dan Prof Dr Noor Hassim Ismail.

"Sejak berada di pasaran pada 2021, kami menerima sambutan luar biasa daripada pengguna yang mencari produk kesihatan terbaik dan kebanyakan promosi produk (adalah) 'dari mulut ke mulut'.

"Untuk beberapa tahun ini, kami memberi tumpuan meluaskan pasaran syarikat di Semenanjung namun bermula tahun depan kami akan lebih agresif mengadakan siri jelajah ke setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

"Di sana, permintaan memang sudah ada, jadi kami akan mempergiat usaha meneroka potensi pasaran di sana," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bermula tahun ini, syarikat juga memberi nilai tambah dengan menawarkan pelbagai pengiktirafan menarik kepada usahawan yang menceburkan diri dalam perniagaan Figura International, antaranya berupa hadiah utama iaitu kereta.

"Tahun ini usahawan Figura yang bertuah, Nasrah Kasa, 64, dari Alor Setar berjaya membawa pulang kereta Proton Saga sempena promosi Cabutan Figura Extravaganza dan tahun depan lebih banyak lagi hadiah menarik disediakan untuk mereka.

"Kami bersedia untuk membantu golongan B40 dan M40 khususnya mereka yang ingin mencari peluang untuk menambahkan pendapatan keluarga.

"Kami menyediakan sistem latihan dan mentor yang sentiasa bersiap sedia untuk membimbing usahawan baharu untuk berjaya dalam perniagaan Figura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2023 @ 6:15 AM