EFFENDY Shahul (dua dari kiri) pada pelancaran kad Touch ‘n Go edisi khas dengan kerjasama United Voice. FOTO Saifullizan Tamadi
EFFENDY Shahul (dua dari kiri) pada pelancaran kad Touch ‘n Go edisi khas dengan kerjasama United Voice. FOTO Saifullizan Tamadi
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Isu kekurangan bekalan cip dijangka berlarutan dalam tempoh lama yang turut memberikan impak kepada Touch 'n Go Group.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, beliau menjangkakan isu kekurangan cip global berkenaan hanya berkemungkinan selesai tahun hadapan.

Katanya, pihaknya tahu mengenai keluhan orang ramai terhadap kesukaran mendapatkan kad Touch 'n Go versi dipertingkatkan namun isu yang berlaku ketika ini adalah kumpulan berhadapan masalah kekurangan cip.

"Isu bekalan cip ini memberi kesan termasuk dalam industri automatif juga. Bagi kami, jualan kad Touch 'n Go agak memberangsangkan dan kami akan cuba atasi perkara ini sebaik mungkin," katanya pada sidang media selepas merasmikan kad Touch 'n Go edisi khas dengan kerjasama United Voice di sini, semalam.

Beliau berkata, kad Touch 'n Go dipertingkatkan membolehkan pengguna membuat tambah nilai pada bila-bila masa, di mana-mana saja dari aplikasi Touch 'n Go eWallet pada peranti mudah alih mereka.

Malah, katanya, pengguna kad dan perkhidmatan itu juga tidak dikenakan sebarang surcaj apabila tambah nilai dilakukan.

Sementara itu, katanya, Touch 'n Go Group akan terus mempertingkatan produk yang menyokong perkhidmatan kewangannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, antara produk perkhidmatan kewangan baru yang akan diperkenalkan kumpulan adalah berkaitan insurans serta pembiayaan kredit bagi segmen yang berbeza.

"Saya rasa pasti ada produk baru untuk melengkapkan tawaran perkhidmatan kewangan kami secara berterusan.

"Antaranya adalah berkaitan insurans dan pembiayaan kredit. Pada masa sama kami juga akan memperkukuhkan lagi ekosistem kad dalam segmen pengangkutan.

"Banyak perancangan kami senaraikan dan ada antaranya bermula tahun ini dan tahun hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 8:07 AM