Effendy Shahul (kiri sekali) melihat lukisan hasil karya OKU di bawah United Voice. - FOTO NSTP
Effendy Shahul (kiri sekali) melihat lukisan hasil karya OKU di bawah United Voice. - FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Touch 'n Go Group akan terus mempertingkatan produk yang menyokong perkhidmatan kewangannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Group, Effendy Shahul Hamid berkata, antara produk perkhidmatan kewangan baru yang akan diperkenalkan kumpulan adalah berkaitan insurans serta pembiayaan kredit bagi segmen yang berbeza.

"Saya rasa pasti ada produk baru untuk melengkapkan tawaran perkhidmatan kewangan kami secara berterusan.

"Antaranya adalah berkaitan insurans dan pembiayaan kredit. Pada masa sama kami juga akan memperkukuhkan lagi ekosistem kad dalam segmen pengangkutan.

"Banyak perancangan kami senaraikan dan ada antaranya bermula tahun ini dan tahun hadapan," katanya.

Sementara itu, mengenai kad Touch 'n Go edisi khas, katanya, ia mempunyai 10 rekaan lukisan yang berlainan menggunakan hasil seni daripada 10 pelukis golongan orang kurang upaya (OKU).

Beliau berkata, setiap jualan kad edisi khas yang setakat ini berjumlah 4,000 keping itu, sebahagiannya akan disalurkan semula kepada United Voice mewakili pelukis OKU berkenaan.

Lukisan yang dihasilkan Syed Rakin Hazman Syed Redzal Hisham.
Lukisan yang dihasilkan Syed Rakin Hazman Syed Redzal Hisham.

Sementara itu, Syed Redzal Hisham Syed Abdul Hamid, 52, dan Rina Abdul Razak, 52, sangat bersyukur bakat anak istimewanya Syed Rakin Hazman Syed Redzal Hisham, 24, serta rakan OKU anaknya dapat diketengahkan.

Syed Redzal Hisham yang menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Access Corporate itu berkata, ketika membawa anaknya itu menjalani terapi, juruterapi mencadangkan menggunakan melukis untuk mengajar fokus sebab sesetengah kanak-kanak autisme sukar untuk fokus.

"Kanak-kanak autisme juga selalunya mempunyai sudut pandangan berbeza daripada kita yang normal. Sebagai contoh kita nak lukis ikan, kita akan nampak pandangan dari tepi keadaan keseluruhan badan hingga ekor ikan itu.

"Pada usia lima tahun, Rakin kali pertama lukis ikan. Hasil lukisannya adalah dari pandangan depan ikan, berbentuk memanjang sehingga nampak atas bawah ada mata dua itu sahaja.

"Apabila kita lihat dia suka melukis dan luahkan dirinya di lukisan, jadi kami salurkan apa yang dia minat di tempat yang betul hantar ke kelas. Rakin ada minat dan bakat, jadi kami hantar dia ke guru seni persendirian yang mahir mengajar kanak-kanak autisme," katanya.

Syed Rakin Hazman (dua dari kiri) bersama keluarganya.
Syed Rakin Hazman (dua dari kiri) bersama keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:25 PM