Effendy (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni menunjukkan kad Touch ‘n Go versi baharu.
Effendy (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni menunjukkan kad Touch ‘n Go versi baharu.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) kini memperkenalkan kad baharu yang ditambah baik di mana pengguna boleh menambah nilai pada bila-bila masa dari aplikasi Touch 'n Go eWallet.

Malah, tiada surcaj dikenakan untuk tambah nilai.

Kad baharu ini juga dilengkapi tahap enkripsi lebih tinggi bagi memastikan keselamatannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata, pihaknya berbesar hati dapat memperkenalkan kad versi baharu ini yang dapat mengatasi masalah pengguna untuk menambah nilai.

"Dengan tawaran kad yang dipertingkatkan ini, pengguna kini boleh memilih untuk mendapatkan kad yang boleh ditambah nilai pada bila-bila masa atau di mana-mana sahaja daripada aplikasi Touch 'n Go eWallet," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kad yang dinaik taraf itu tersedia untuk pembelian pada harga RM10, harga yang sama dengan kad Touch 'n Go versi lama dan boleh dibeli di aplikasi Touch 'n Go eWallet serta di lokasi runcit terpilih di seluruh negara.

Kad Touch ‘n Go versi baharu yang dihiasi warna biru dan merah jambu pastel.
Kad Touch ‘n Go versi baharu yang dihiasi warna biru dan merah jambu pastel.

Selepas pengguna menerima kad Touch 'n Go yang dinaik taraf, mereka perlu memautkan kad itu ke Touch 'n Go eWallet mereka.

Pengguna hanya perlu memegang kad di belakang telefon pintar yang dilengkapi ciri Near Field Communication (NFC) selama lima saat untuk mengaktifkan kad baharu.

Selepas melengkapkan pautan, pengguna kemudian boleh melihat baki kad dan melakukan tambah nilai.

Fungsi ini kini tersedia untuk kedua-dua peranti iOS dan Android, dan pengguna boleh memautkan sehingga lima kad Touch 'n Go ke Touch 'n Go eWallet mereka.

"Kami menjangkakan permintaan untuk kad yang dinaik taraf ini sangat tinggi. Bagaimanapun, memandangkan kekurangan cip global, kami menjangkakan permintaan akan melebihi bekalan. Jadi, kami berharap pengguna dapat bersabar menanti kad mereka," katanya.

Sekiranya stok untuk kad ini kehabisan pada aplikasi Touch 'n Go eWallet atau saluran runcit, pengguna dinasihatkan untuk mendaftar minat mereka pada aplikasi Touch 'n Go eWallet, dan mereka akan dimaklumkan apabila kad ini tersedia untuk pembelian.

Sama seperti kad Touch 'n Go semasa, kad Touch 'n Go yang dinaik taraf boleh digunakan untuk pembayaran tanpa tunai seperti biasa merentasi semua penggunaan termasuk lebuh raya bertol, perkhidmatan pengangkutan awam, dan lebih 700 tapak letak kereta di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 11:35 AM