CIMB
CIMB
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) akan menyalurkan bantuan kewangan dan menawarkan obligasi pembayaran untuk menyokong komuniti, pelanggan dan kakitangan yang terjejas dengan banjir di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, syarikat perbankan itu menyelami kesukaran yang dihadapi komuniti setempat.

Katanya, CIMB komited untuk memainkan peranan dengan menawarkan bantuan kewangan dan pembayaran kepada mereka yang terjejas dengan banjir.

"Kami berharap usaha ini akan membantu meringankan beban kewangan tambahan yang dihadapi mangsa banjir dan seterusnya membantu masyarakat terbabit dalam membangun kembali kehidupan serta dan mata pencarian mereka.

"Sebagai sebahagian daripada usaha membantu mangsa banjir, CIMB juga sudah menyalurkan bantuan wang tunai dan barang keperluan seperti makanan serta minuman kepada kakitangannya yang terjejas," katanya dalam kenyataan.

Menerusi unit Tanggungjawab Korporat, Yayasan CIMB, kumpulan itu akan menyumbang RM300,000 menerusi agensi seperti Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah.

Sumbangan itu adalah untuk memberi bantuan kepada mangsa banjir termasuk bantuan pemulihan.

Selain itu, CIMB Bank dan CIMB Islamic juga akan menawarkan bantuan pembayaran bagi pelbagai pinjaman dan produk kewangan dalam usaha mengurangkan beban kewangan pelanggan dan kakitangan dalam komuniti yang terjejas akibat banjir.

Pelepasan pembayaran selama enam bulan akan ditawarkan atas permintaan pelanggan yang layak untuk semua pembiayaan kediaman, pembiayaan premis perniagaan dan pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi individu terjejas, selain turut membabitkan pinjaman/ pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi perniagaan tempatan yang terjejas.

Sementara itu, CIMB juga akan menawarkan bantuan penjadualan dan penstrukturan semula pembiayaan kenderaan, pembiayaan peribadi (Express Cash, Cash Plus-i dan Pinjaman Cash Plus) dan pembiayaan kad kredit.

Bayaran akan dikecualikan untuk penggantian kad kredit atau debit, permintaan penyata atau penggantian buku akaun dan cek bank yang rosak.

"Bagi pelanggan PKS, caj dan bayaran lewat yang dikenakan bank juga akan dikecualikan selama tiga bulan.

"CIMB akan bekerjasama rapat dengan rakan insurans untuk mempercepatkan proses tuntutan disebabkan banjir di kawasan terjejas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 4:31 PM