AHMAD Idham
AHMAD Idham
Ramlah Zainal


SOAL sikap dan tiada disiplin diri antara faktor menyebabkan kru produksi tidak menabung dengan mencarum dalam i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk hari tua mereka.

Pengarah, penerbit dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, kru produksi seharusnya bijak menguruskan pendapatan mereka yang tidak bekerja secara tetap (freelance) itu.

"Kalau nak masuk dalam industri ini, mereka perlu bijak mengurus kewangan. Contohnya, kalau 'runner' kena hidup cara 'runner' dan bukannya tahap jurukamera.

"Ada kru yang lebih rela beli pakaian mahal daripada menabung. Mereka juga tidak faham dengan industri kreatif yang mereka sendiri terbabit," katanya.

Mengenai dakwaan pendapatan kru yang kecil pula, Ahmad Idham berkata, industri seni tiada akreditasi dan gred yang nyata dalam soal pembayaran kepada kru.

"Memang saya nampak ada kru yang dibayar tinggi dan rendah. Mereka ada belasan kategori dan kru yang dibayar rendah dalam kategori bawah serta babitkan segelintir kecil kru dalam industri. Ramai lagi kru yang dibayar mahal hingga puluhan dan ratusan ribu ringgit," katanya.

Ahmad Idham berkata, isu caruman KWSP membabitkan kru pernah dibincangkan ketika dia menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum ini.

Katanya, memang inisiatif Finas untuk mencari mekanisme terbaik untuk membuat caruman kepada kru ketika itu.

"Tapi malangnya, apa yang berlaku, KWSP sudah ada aktanya sendiri dan Finas tidak boleh ambil alih dan letak akta lain untuk mewajibkan caruman berkenaan.

"Kami juga sudah berjumpa dengan pihak KWSP dan mereka beritahu industri seni ada dua iaitu 'freelance' dan tetap. Untuk pekerja 'freelance', memang sudah ada caruman i-Saraan itu," katanya.

Menurutnya, apa yang penting untuk kita meningkatkan kesedaran dan kempen kepada kru belakang tabir untuk mencarum.

"Pihak kami juga sudah berbincang dengan persatuan berkaitan kerana caruman untuk i-Saraan untuk kru adalah secara sukarela. Cuma saya tidak pasti keberkesanannya sekarang," katanya.

Ditanya cadangan sebagai penerbit pula, Ahmad Idham berkata, kru perlu faham fungsi i-Saraan KWSP untuk tabungan hari tua mereka.

"Selain i-Saraan, kita ada pelbagai program dan pakej untuk simpanan yang boleh dipilih, contohnya pakej insurans yang ada faedah perubatan.

"Kru juga perlu faham bagaimana mahu menguruskan pendapatan mereka seperti pepatah, 'ukurlah baju di badan sendiri," katanya.

A Aida
A Aida

Sementara itu, penerbit, Datuk A Aida, 53, berkata, mungkin tiada sistem yang memudahkan kru untuk buat caruman di i-Saraan KWSP seperti majikan yang terus potong gaji pekerja kerana bayaran untuk kru dibuat secara tunai.

Katanya, dia percaya, kru juga mahu mencarum dalam i-Saraan KWSP, tetapi tidak tahu cara untuk mencarum dan perkara seperti itu merumitkan mereka.

"Melainkan penerbit sendiri mengambil inisiatif untuk buat caruman untuk setiap 'job' mereka. Pada masa sama, tiada syarat atau jumlah yang ditetapkan untuk kru yang tiada kerja tetap ini dan mereka juga boleh mencarum sama ada RM50, RM100 atau RM200 bagi setiap kerja," katanya.

Mengenai isu kru yang dibayar rendah pula, kata A Aida, dia buat bayaran mengikut permintaan mereka.

"Soal bayaran rendah tidak menjadi isu kerana saya akan bincang dengan kru terlebih dulu mengenai bayaran yang diminta mereka.

"Bagi saya, kru sama saja dengan artis. Apa yang penting kesedaran mereka untuk mencarum untuk hari tua serta sistem yang memudahkan mereka untuk mencarum," katanya.

A Aida yang juga pemilik A Aida Production berkata, perlu ada pihak atau persatuan yang membantu untuk memudahkan kru untuk mencarum dalam i-Saraan KWSP.

"Kru adalah di bawah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan saya cadangkan, Profima boleh bantu untuk memudahkan kru mencarum dalam KWSP" katanya.

Terdahulu, Metro Ahad melaporkan, kurang kesedaran, gaji kecil dan kesempitan hidup antara sebab penggiat seni

membabitkan kru produksi tidak mahu mencarum i-Saraan KWSP.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 6:11 AM