MOHAMAD Helmy
MOHAMAD Helmy

Kuala Lumpur: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) menerima 249 pelatih baharu bagi operasinya di seluruh negara di bawah program tahunan Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ).

Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, seramai 251 pelatih lagi dijangka menyertai program itu pada Oktober depan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 500 orang.

"Ini adalah penambahan ketara berbanding jumlah pengambilan seramai 100 pelatih tahun lalu, menunjukkan langkah berani SDP untuk meningkatkan bantuannya kepada siswazah tempatan yang menyertai pasaran pekerjaan dalam tempoh yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, di bawah PROTÉGÉ, siswazah menganggur diberikan masa dua minggu untuk menyertai latihan dalam bilik darjah secara maya dan penempatan pekerjaan selama setahun dalam operasi SDP di sembilan negeri di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, SDP menumpukan untuk menyediakan peluang kepada siswazah yang layak dalam bidang yang relevan kepada operasi syarikat.

"Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan keperluan untuk penghijrahan rentas sempadan yang ketika ini dilarang untuk membendung pandemik, malah, bertujuan meningkatkan ekonomi dan punca pendapatan komuniti tempatan yang menetap berhampiran operasi SDP," katanya.

PROTÉGÉ adalah inisiatif kerajaan yang dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) dengan kerjasama sektor swasta untuk memberi peluang kepada siswazah Malaysia dari universiti tempatan dan antarabangsa yang menganggur bagi meraih pengalaman bekerja dalam organisasi yang bereputasi baik.

Sejak 2009 hingga 2020, SDP telah menerima kira-kira 1,286 pelatih di bawah program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dan PROTÉGÉ dengan 54 peratus atau 695 daripadanya berjaya mendapat penempatan pekerjaan di pasaran.

Berdasarkan rekod SDP, 523 atau 41 peratus daripada pelatih ini diambil bekerja oleh syarikat lain dan 172 atau 13 peratus pelatih dikekalkan dalam operasi SDP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:01 AM