ZULKIFLI (kanan) pada sidang media sempena SD Plantation Future Fest 2024 di Sime Darby Plantation R&D Centre, Pulau Carey. FOTO Faiz Anuar
ZULKIFLI (kanan) pada sidang media sempena SD Plantation Future Fest 2024 di Sime Darby Plantation R&D Centre, Pulau Carey. FOTO Faiz Anuar
Norzamira Che Noh


Kuala Langat: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) mensasarkan 100 peratus penggunaan tenaga kerja tempatan di ladang kecuali kerja menuai buah kelapa sawit menjelang 2027.

Ketua Pegawai Sumber Manusia SDP, Zulkifli Zainal Abidin berkata, bagi kerja tuaian (harvesting), tenaga kerja asing masih diperlukan kerana ia kerja yang paling sukar dan kurang mendapat sambutan dari pekerja tempatan.

Beliau berkata, menerusi Projek Lokal yang diperkenalkan pada 2019, ia bertujuan mengubah transisi kerja perladangan daripada 3D (kotor, sukar dan bahaya) kepada pekerja mahir dalam kalangan warga tempatan menerusi penggunaan mesin dan jentera dalam memudahkan operasi perladangan kelapa sawit.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan dimensi baru dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Pada 2021 kita dapat lihat bahawa minat pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan di ladang adalah lebih baik daripada mula-mula kita perkenalkan (Projek Lokal).

"Buat masa ini, kita ada 600 pekerja tempatan termasuk wanita. Jika dulu, persepsi wanita tidak boleh direkrut untuk kerja di ladang berikutan terpaksa membawa barangan berat namun dengan mekanisasi telah memudahkan pekerjaan.

"Penggunaan mesin juga dapat mengurangkan tenaga kerja (pekerja asing) seterusnya dapat menambah baik kadar gaji selain kemudahan lain seperti rumah bagi menarik pekerja tempatan berusia lingkungan 25 tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Fong Hin melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SDP di Pulau Carey selain menyaksikan memorandum Perjanjian Kerjasama (MoA) membabitkan Universiti Malaya dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia bersama SDP.

Zulkifli berkata, pihaknya turut menyasarkan seorang pekerja akan menjaga seluas 7.18 hektar pada tahun 2027 menerusi projek ini berbanding seorang pekerja untuk 3.23 hektar ladang kelapa sawit ketika ini.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan lebih 700 pekerja tempatan mahir di semua ladang milik SDP seluruh negara pada tempoh sama.

"Kita turut memfokuskan kepada penciptaan prototaip terutama mesin menuai kelapa sawit. Ini berikutan kerja mengait buah terutama pokok yang tinggi adalah sukar dalam peladangan kelapa sawit.

"Tidak ramai pekerja tempatan mahu kerja bahagian ini dan masih bergantung kepada tenaga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 7:21 PM