SDP berikrar segera laksana semua langkah pembetulan.
SDP berikrar segera laksana semua langkah pembetulan.

SIME Darby Plantation Bhd (SDP) sudah melantik firma audit Pricewaterhouse Coopers (PwC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang bebas dan mengkhusus kepada hak pekerja migran untuk memperkukuhkan lagi pematuhan hak asasinya.

SDP dalam kenyataan berkata, PwC dan NGO berkenaan masing-masing dilantik pada 19 Oktober dan 1 Oktober lalu.

"SDP berikrar segera melaksanakan sebarang langkah atau semua langkah pembetulan yang perlu sekiranya terdapat bukti terhadap sebarang kesalahan atau pelanggaran dasar dan prosedur komprehensif SDP yang sedia ada.

"Kami akan bekerjasama dengan pakar luar yang bebas untuk merancang program intervensi yang diperlukan bagi meningkatkan pematuhan kepada komitmen hak asasi manusia yang sedia ada," katanya.

Pada 20 April, pertubuhan berkaitan antipemerdagangan manusia yang berpangkalan di Hong Kong, Liberty Shared mengemukakan petisyen kepada Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (AS) mengenai potensi larangan import AS terhadap produk minyak sawit SDP.

Syarikat gergasi perladangan itu berkata, mereka sudah berusaha menambah baik proses pengambilan pekerja migran sejak 2015 dan melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan hak dan keadaan hidup tenaga kerja asing.

"Berikutan sekatan-sekatan yang dilaksanakan di Malaysia akibat Covid-19 sejak suku pertama 2020, kami tidak boleh mengambil pekerja migran baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2020 @ 7:20 AM