STANDARD keselamatan dan kemampanan kilang akan turut dinaikkan untuk memenuhi standard pengeluaran makanan antarabangsa yang ketat. FOTO Bloomberg
STANDARD keselamatan dan kemampanan kilang akan turut dinaikkan untuk memenuhi standard pengeluaran makanan antarabangsa yang ketat. FOTO Bloomberg

Kuala Lumpur: Sime Darby Plantation Bhd (SDP) merancang untuk menukar kesemua 33 kilang minyak sawitnya di Malaysia kepada kemudahan keselamatan makanan yang diperakui menjelang akhir 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan SDP Mohamad Helmy Othman Basha berkata standard yang sama akan dilaksanakan di seluruh operasi kumpulan di Indonesia, Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon.

"Transformasi adalah sebahagian daripada usaha untuk membentuk semula operasi ladang kelapa sawit.

"Kami sudah mereka bentuk semula perladangan, dengan mengautomasikan dan mendigitalkan beberapa aspek kerja yang sering dilakukan secara manual," katanya dalam kenyataan.

Beliau juga berkata sebagai sebahagian daripada langkah ini, standard keselamatan dan kemampanan kilang akan turut dinaikkan untuk memenuhi standard pengeluaran makanan antarabangsa yang ketat.

Keutamaan segera ialah mencapai pematuhan keselamatan makanan yang diperakui mengikut standard Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

Pada masa ini, empat kilang SDP (Giram, Sabah; Tennamaram, Selangor; Sua Betong, Negeri Sembilan; dan Ulu Remis, Johor) telah berjaya memperoleh pensijilan HACCP manakala 29 kilang lagi akan dinilai oleh penilai HACCP dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Diiktiraf sebagai penanda aras global dalam memastikan keselamatan makanan, HACCP digunakan oleh beberapa pengeluar terbaik dunia sebagai pendekatan sistematik untuk menguruskan risiko keselamatan makanan di semua peringkat pengeluaran makanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 8:31 AM