TENAGA Nasional Berhad (TNB) memperkukuhkan peranannya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) menerusi peruntukan RM43 juta bagi program TNB Reskilling Malaysia yang diperkenalkan akhir tahun lalu bagi membantu usaha kerajaan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja teknikal.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, ia menjadikan sejumlah RM186 juta diperuntukkan TNB dalam inisiatif mengurangkan kadar pengangguran negara sebagai tambahan peruntukan RM143 juta oleh TNB sejak 2011 khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan.

TNB menerusi institusi latihan teknikalnya, ILSAS menyasarkan melatih semula 17,500 tenaga kerja yang terkesan akibat Covid-19 sehingga 2024.

"Sejak program ini dilaksanakan pada Oktober tahun lalu, ILSAS berjaya melatih dan membuat padanan pekerjaan 2,376 orang di 268 syarikat dalam industri.

"Inisiatif ini dijangka menyumbang peningkatan sehingga 6.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui kesan berganda dalam ekonomi yang nilainya boleh mencapai sehingga RM82 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang," katanya pada majlis perasmian TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé, di Bangi.

Ia dilancarkan Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan dihadiri Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din serta pengurusan tertinggi TNB.

TNB Reskilling Malaysia dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia yang memberikan komitmen untuk menampung baki kos program sebanyak RM38 juta lagi.

Katanya, TNB Reskilling Malaysia dan TNB Protégé dilaksanakan dalam usaha syarikat utiliti nasional itu membantu kerajaan menggerakkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik Covid-19.

Katanya, TNB juga melatih 5,477 pelatih Protégé, iaitu sejak 2011 dengan peruntukan RM143 juta.

Ia meningkatkan kebolehpasaran graduan muda ini, dan ini terbukti apabila 2,633 pelatih sudah mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat latihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 7:20 AM