Suraya Roslan dan Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) menegaskan tidak akan menaikkan harga jualan kenderaan walaupun berdepan dengan lonjakan luar biasa kos pengeluaran.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, kumpulan akan menampung peningkatan kos pengeluaran melalui pelbagai langkah yang dilaksanakan sebagai pengeluar kenderaan nasional.

Beliau berkata, bagi memastikan pelanggan dapat menikmati harga jualan kenderaan yang sama selain terus memperkasakan ekosistem vendornya.

Katanya, Perodua turut memberi tumpuan utama dalam menyokong pemerkasaan ekosistem automotif negara dan kelangsungan operasi vendor.

"Vendor menjadi ekosistem penting dalam memastikan industri automotif negara kekal berdaya saing walaupun berdepan dengan pelbagai krisis termasuk peningkatan harga bahan mentah.

"Justeru itu, Perodua sentiasa memastikan ekosistem ini sentiasa terjaga termasuk melaksanakan langkah transformasi dengan pelbagai pihak seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida)," katanya selepas majlis pelancaran Mida-Perodua Digital Transformation Ecosystem Programme di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Arham Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, program kerjasama dengan Mida adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan dari segi rantaian bekalan dan nilai, aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta inovasi dan pengkomersialan.

Beliau berkata, program itu menunjukkan petanda yang memberangsangkan kerana kumpulan peserta pertama melaksanakan projek cadangan mereka.

Katanya, pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 bukan sahaja untuk manfaat pembekal automotif, malah impak program ini akan memberi sumbangan besar kepada agenda transformasi digital negara.

"Program ini juga boleh mempercepatkan industri Malaysia, dari syarikat hingga besar, kerana ia menyediakan dana dan bimbingan.

"Peranan Perodua sentiasa membangunkan ekosistem automotif dan program ini salah satu contoh komitmen kami ke arah objektif pemerkasaan," katanya.

Fasa pertama Mida-Perodua Digital Transformation Ecosystem Programme, tiga syarikat, LSF Technology Sdn Bhd, J K Wire Harness Sdn Bhd dan Autoliv Hirotako Safety Sdn Bhd menerima Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membantu syarikat tempatan memasuki rantaian bekalan global.

Di bawah program itu, Mida dan Perodua juga turut mengenal pasti lima vendor baharu yang menunjukkan banyak potensi dan peluang pertumbuhan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, sebagai agensi promosi utama Malaysia, Mida akan memperluaskan perkhidmatan sokongannya untuk membantu lebih banyak syarikat memperoleh pertumbuhan dari segi produktiviti, bakat dan merapatkan jurang kewangan dan teknologi.

Arham berkata, pada tahun ini, Mida meneruskan inisiatifnya melalui seminar pelaburan domestik, pembabitan dengan persatuan dan dewan perdagangan kebangsaan, program rantaian industri/rantaian bekalan serta komitmen platform penyelarasan pelaburan domestik.

Beliau berkata, Mida akan berusaha untuk menyelaraskan sesi padanan perniagaan antara syarikat utama dan bakal pembekal atau penyedia tempatan dalam industri tertentu.

Sehingga 30 Jun 2022 katanya, 238 syarikat Malaysia diluluskan dengan geran perniagaan bernilai RM138.5 juta.

"Penerima geran ini adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada industri intensif buruh seperti plastik, kayu, perabot dan tekstil, manakala selebihnya daripada industri berkaitan perkhidmatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 5:49 PM
  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berucap pada majlis pelancaran Mida-Perodua Digital Transformation Ecosystem Programme. FOTO AZIAH AZMEE
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berucap pada majlis pelancaran Mida-Perodua Digital Transformation Ecosystem Programme. FOTO AZIAH AZMEE