PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad. FOTO Amirudin Sahib.
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad. FOTO Amirudin Sahib.
Nabil Basaruddin


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meningkatkan sasaran jualannya pada tahun ini kepada 235,000 unit, meningkat 4,000 unit daripada sasaran awal 231,000 unit seperti yang diumumkan Januari lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, dari Januari hingga Jun lalu, sekitar 190,765 tempahan telah diterima, peningkatan lebih tiga peratus daripada 184,949 tempahan dalam tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan permintaan bagi kenderaan Perodua dalam tempoh enam bulan pertama 2019 memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan dengan pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh itu.

“Berdasarkan unjuran kami untuk separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen sepanjang 2019.

“Syarikat mencapai satu tahap di mana kami berusaha keras untuk membina jenama kami di luar negara secara berperingkat dan berterusan.

“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan masa yang panjang dan berharap Perodua dapat membanggakan rakyat Malaysia,” katanya pada sesi taklimat prestasi separuh pertama 2019 syarikat itu di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 2018, Perodua menjual 227,243 kenderaan yang mana ia adalah pencapaian tahunan tertinggi dalam sejarah syarikat pengeluar kereta itu.

Bagi separuh pertama 2019 pula, Perodua menjual kira-kira 121,800 kenderaan, peningkatan empat peratus daripada 117,100 unit yang dijual dalam tempoh sama tahun lalu.

Ia disokong oleh permintaan yang memberangsangkan bagi semua model dikeluarkan Perodua.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, jumlah pengeluaran dari dua kemudahan pengeluarannya juga dijangka meningkat kepada 249,000 unit akhir tahun ini berbanding sasaran awal iaitu 242,000 unit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 3:49 PM