ZAINAL ABIDIN.
ZAINAL ABIDIN.
Mohd Zaky Zainuddin


PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) melantik Datuk Zainal Abidin Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 1 Januari ini.

Zainal Abidin yang sebelum ini adalah Naib Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd akan menggantikan Datuk Aminar Rashid Salleh yang bersara pada 31 Disember ini selepas menerajui PERODUA selama sembilan tahun.

Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, Zainal Abidin dijangka meneruskan usaha untuk meningkatkan lagi kecekapan dan daya saing dengan tujuan mengembangkan lagi perniagaan eksport pengeluar kereta nasional kedua negara itu.

“Ahli Lembaga Pengarah melihat Zainal Abidin sebagai calon pemimpin sesuai kerana beliau berupaya menggerakkan PERODUA serta vendor, pembekal dan pengedarnya ke peringkat serantau.

“Membawa PERODUA ke peringkat serantau memerlukan seseorang yang bukan saja boleh memimpin malah, mampu mengukuhkan jalinan hubungan dengan kerajaan dan bersama-sama memandu arah industri automotif yang semakin mencabar.

“Zainal Abidin membuktikan bahawa beliau dapat bekerja dengan baik bersama semua pemegang saham, termasuklah Daihatsu Motor Company of Japan dalam membawa teknologi baharu ke Perodua dan menggalakkan pelaburan di dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Zainal Abidin, 52, memegang ijazah dalam Pengurusan Sistem Maklumat dan Perakaunan daripada Pacific Lutheran University, Washington, Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 11:42 AM