SERGIO Perez. FOTO AFP
SERGIO Perez. FOTO AFP
Agensi

Imola: Sergio Perez mendedahkan belum lagi menandatangani perjanjian baharu dengan Red Bull walaupun Alex Albon sudah mengesahkanya masa depannya bersama Williams.

Menjelang Grand Prix Emilia Romagna hujung minggu ini, Williams mengumumkan Albon sudah menandatangani perjanjian baharu selama beberapa tahun sekali gus menyaksikannya akan kekal dengan pasukan itu sehingga sekurang-kurangnya tahun 2027.

Albon adalah salah seorang calon utama yang mungkin menggantikan Perez selepas sering dikaitkan dengan perpindahan ke Red Bull.

Albon pernah bergandingan dengan Max Verstappen antara musim 2019 dan 2020 sebelum khidmatnya ditamatkan untuk musim seterusnya.

Pemandu Thailand itu kembali ke Formula Satu (F1) pada tahun 2022 bersama Williams dan membantu pasukan itu meraih pencapaian terbaik tahun lalu apabila menduduki tempat ketujuh kejuaraan pengeluar.

Mengulas mengenai masa depannya di Imola, Perez berkata: "Masih belum menandatangani apa-apa. Semuanya masih terbuka. Saya sangat yakin.

"Saya rasa ketika ini adalah lebih baik untuk memberi fokus sepenuhnya kepada perlumbaan.

"Harap tidak lama lagi segala-galanya akan dimuktamadkan dan kami akan menunjukkan perkembangannya."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 11:05 AM