Alexander ketika beraksi di GP Hungary. FOTO REUTERS
Alexander ketika beraksi di GP Hungary. FOTO REUTERS
AFP

PEMANDU Formula Satu dari Thailand, Alexander Albon mendapat tempat bergandingan bersama Max Verstappen dalam pasukan Red Bull mengharungi baki perlumbaan musim ini sekaligus menyertai secara tetap.

Albon, berusia 23 tahun dan dilahirkan di England oleh ibunya berbangsa Thai, dibawa masuk daripada pasukan saudara Red Bull iaitu Toro Rosso dengan pemandu Perancis, Pierre Gasly akan ke pasukan terbabit.

Albon akan memandu kereta Red Bull untuk kali pertama di Grand Prix Belgium pada 1 September.

“Alexander Albon dinaikkan kepada Aston Martin Red Bull Racing untuk memandu bersama Max Verstappen manakala Pierre Gasly akan kembali ke pasukan saudara Red Bull, Scuderia Toro Rosso,” menurut kenyataan itu, hari ini.

“Pasukan itu menilai prestasi Alex pada sembilan perlumbaan terakhir untuk menentukan keputusan siapa akan bergandingan bersama Max pada 2020.”

Albon yang diambil daripada pasukan Remaja Red Bull Junior pada 2012, sudah mengumpul 16 mata pada penampilan sulungnya dalam kejuaraan dengan pencapaian terbaik berada di tempat keenam pada Grand Prix Jerman.

Gasly yang juga berusia 23, berada pada musim kedua dalam F1, bersaing dalam lima Grand Prix pada kempen 2017 dan sudah mengutip 63 mata pada peringkat sekarang dan mencatat kedudukan terbaik menduduki tempat keempat pada GP British.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 8:20 PM