PEMANDU Red Bull dari Belanda, Max Verstappen melambai kepada penonton selepas memenangi perlumbaan GP Emilia Romagna di Litar Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari, Ahad lalu. FOTO AFP
PEMANDU Red Bull dari Belanda, Max Verstappen melambai kepada penonton selepas memenangi perlumbaan GP Emilia Romagna di Litar Autodromo Internazionale Enzo e Dino Ferrari, Ahad lalu. FOTO AFP
Reuters

Imola, Itali: Penguasaan Max Verstappen di Imola, hujung minggu lalu, adalah kebangkitan hebat selepas kesengsaraan di Melbourne, sambil Red Bull yakin mereka kembali berebut gelaran Formula Satu dengan pendahulu, Ferrari.

Verstappen yang tampil selaku juara dunia terpaksa menarik diri di Grand Prix (GP) Australia, dua minggu lalu, tetapi cemerlang di GP Emilia-Romagna apabila memenangi perlumbaan pecut pada Sabtu, sebelum bermula di petak utama dan muncul juara serta mencatatkan masa pusingan terpantas, pada Ahad.

Rakan sepasukannya dari Mexico, Sergio Perez menduduki tempat ketiga pada Sabtu dan tempat kedua pada Ahad, menyaksikan Red Bull hanya kurang satu mata berbanding 59 mata maksimum dan pertarungan merebut gelaran kini menjadi dua dimensi iaitu pemandu dan pengeluar.

"Ini adalah kebangkitan yang kami perlukan," kata pengurus Red Bull, Christian Horner selepas Verstappen kini 27 mata di belakang pemandu Ferrari, Charles Leclerc, yang mengalami masalah kereta berpusing dan menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Sebelum ini, Verstappen ketinggalan 46 mata di tempat kedua selepas gagal menamatkan perlumbaan di Australia kerana masalah sistem bahan api.

"Kami menyerang sejak awal pada hujung minggu lalu dan kedua-dua pemandu memang hebat. Max dan Checo (Perez) memandung dengan cemerlang," kata Horner.

"Selepas kekecewaan di Australia dan bangkin semula dengan keputusan seperti ini di Imola, ia adalah antara pencapaian terbaik kami sepanjang masa.

"Anda tidak boleh mengalah dengan mudah dan sudah tentu, ia turut membuktikan kami mampu mengatasi isu serta masalah di Australia."

Keputusan itu bermakna Verstappen dan Leclerc, kedua-duanya berusia 24 tahun, masing-masing menang dua daripada empat perlumbaan awal untuk bersaing dalam 23 perlumbaan musim ini dan pilihan utama mengatasi pemandu lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 9:18 AM