LOEB melambai penyokong selepas menjuarai Rali Monte-Carlo ke-90 di Monaco.
LOEB melambai penyokong selepas menjuarai Rali Monte-Carlo ke-90 di Monaco.
AFP

Monte Carlo: Juara dunia sembilan kali Sebastien Loeb, 47, mencipta sejarah apabila muncul pemenang tertua rali WRC di Monte Carlo awal pagi tadi.

Loeb yang menjuarai rali dunia pertama sejak 2018 berlumba buat julung kalinya bersama Isabelle Galmich, 50, yang menjadi pemandu pembantu wanita pertama memenangi saingan tertinggi dalam tempoh 25 tahun.

Dalam kejohanan pembuka musim yang bersalji di Monaco, Loeb yang memandu Ford memintas rakan senegara dari Perancis, Sebastien Ogier pada lewat perlumbaan selepas pemandu Toyota itu mengalami masalah tayar.

Legenda Perancis itu hanya menyertai beberapa perlumbaan terpilih musim ini dan peluang itu dimanfaatkan Loeb untuk meraih kemenangan ke-80 di sirkit rali dunia. Pada usia 47 tahun, 10 bulan dan 28 hari dia muncul pemenang tertua pada peringkat itu.

Rekod sebelum ini milik pelumba Sweden, Bjorn Waldegard yang menjuarai Rali Safari 1990 di Kenya pada usia 46 tahun.

"Saya rasa sangat gembira! Saya tak jangka kemenangan apabila tiba di sini," kata Loeb yang menduduki tempat kedua di Rali Dakar baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 11:48 AM