HAMILTON (kiri) bersama Ricciardo pada sidang media. FOTO AFP
HAMILTON (kiri) bersama Ricciardo pada sidang media. FOTO AFP
Reuters

Monza: Lewis Hamilton menolak khabar angin Mercedes akan mendapatkan khidmat Daniel Ricciardo selepas dia menegaskan tidak akan bersara dalam tempoh terdekat walaupun melalui kempen mengecewakan tahun ini.

Hamilton berkata demikian pada sidang media menjelang Grand Prix Itali hujung minggu ini di Monza.

"Selama bertahun-tahun kami bersama-sama mengharungi detik naik serta turun dan kerap mendengar soal persaraan. Sudahlah," kata Hamilton yang duduk di sebelah Ricciardo.

"Bagi saya, saya berasa lebih baik berbanding sebelum ini. Saya rasa cergas dan menyukai apa yang saya lakukan.

"Saya tidak bercadang untuk berhenti dalam masa terdekat. Maaf kawan," katanya sambil memerhatikan Ricciardo.

Hamilton kemudian menyindir Ricciardo apabila berkata: "Dia terlalu berbakat dan dia sememangnya layak berlumba bersama kami semua."

Ricciardo dan McLaren mengumumkan secara rasmi bulan lalu bahawa kedua-dua pihak akan berpisah pada penghujung musim ini.

Ricciardo, 33, mempunyai lapan kemenangan sepanjang kariernya di Formula Satu (F1) dengan yang terbaru di Grand Prix Itali pada 12 September tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 10:28 AM