HAMILTON ketika sidang media di  Litar Monza.  FOTO AFP
HAMILTON ketika sidang media di Litar Monza. FOTO AFP
Reuters

Monza: Juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1) Lewis Hamilton menjadikan juara tujuh kali Super Bowl Tom Brady sebagai contoh terbaik untuknya terus bersaing pada tahap tertinggi melepasi usia 40-an.

Bekas juara Mercedes semalam mengumumkan pelumba Britain itu yang bakal berusia 39 tahun Januari depan akan terus kekal bersama mereka pada 2024 dan 2025.

Bintang National Football League (NFL) Brady, 46,bersara pada Februari lalu selepas 23 tahun membantu pasukannya mencapai pelbagai kejayaan.

"Saya melihat orang seperti Tom Brady, atlet mengagumkan dan menunjukkan apa boleh dilakukan hari ini. Dia menjadi contoh terbaik yang perlu dijadikan perangsang kepada semua atlet," kata Hamilton kepada wartawan menjelang Grand Prix (GP) Itali di Monza.

"Saya benar-benar bersyukur dapat bercakap dengannya dalam memahami apa dilakukannya untuk kekal konsisten."

Hamilton berkata juara dunia berganda Fernando Alonso yang menjadi rakan sepasukannya di McLaren ketika tampil kali pertama pada 2007 adalah seorang lagi yang boleh dijadikan model.

Jaguh Sepanyol itu masih berlumba untuk Aston Martin pada usia 42 tahun dan kekal kompetitif apabila menduduki tempat kedua di GP Belanda minggu lalu.

Dia masih berbaki kontrak dua tahun selepas meninggalkan McLaren pada 2018 sebelum tampil semula dengan Alpine pada 2021.

"Dia berada di sini sebelum saya dan bersara tetapi kembali semula. Dia melakukan tugas dengan menakjubkan," kata Hamilton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2023 @ 11:59 AM