DUA pemandu Mercedes, Hamilton dan Valtteri Bottas ketika sesi latihan di Litar Antarabangsa Shanghai. — FOTO Reuters
DUA pemandu Mercedes, Hamilton dan Valtteri Bottas ketika sesi latihan di Litar Antarabangsa Shanghai. — FOTO Reuters
Reuters

KEPANTASAN Ferrari di litar lurus menjadi kebimbangan utama namun Lewis Hamilton turut berwaspada dengan ancaman Red Bull ketika juara Formula Satu dunia itu mengintai kemenangan keenam pada Grand Prix China, Ahad ini.

Pemandu Australia, Daniel Ricciardo menang buat Red Bull di Shanghai tahun lalu, bermula dari petak keenam dan ketika pasukan itu beralih dari enjin Renault kepada Honda, mereka tetap kompetitif.

Ricciardo sudah berpindah ke Renault, namun Max Verstappen berakhir di tangga ketiga pada perlumbaan pembuka tirai di Australia dan keempat di Bahrain dua minggu lalu.

“Anda pasti tidak boleh mengetepikan mereka,” kata Hamilton kepada wartawan di Litar Shanghai semalam.

HAMILTON sebelum sesi latihan GP China. — FOTO Reuters
HAMILTON sebelum sesi latihan GP China. — FOTO Reuters

“Mereka bermula agak perlahan tapi saya fikir jika anda lihat tahun lalu sebagai contoh, mereka menang perlumbaan di sini dan mereka berakhir mantap. Saya menjangkakan sesuatu yang sama kali ini.”

Hamilton meraih lebih banyak kejayaan di litar sejauh 5.4km itu berbanding mana-mana pemandu dan juara Mercedes menikmati penamat 1-2 dalam dua perlumbaan pertama musim ini.

Ketika pemandu berusia 34 tahun itu selalunya hadir sebagai pilihan untuk menang, terutama dalam era V6 turbo-hibrid dengan Mercedes menang semua perlumbaan kecuali satu di China sejak 2014, tidak ramai mempertaruhkan terhadapnya tahun ini.

“Ia hanya perlumbaan ketiga,” kata juara dunia lima kali itu.

“Jelas kami tidak menjangkakan persembahan kami pada perlumbaan pertama, kami juga tidak jangka perkara sama pada perlumbaan kedua. Saya benar-benar tidak tahu ketika ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 12:19 PM