Daniel Ricciardo. FOTO Agensi
Daniel Ricciardo. FOTO Agensi
Agensi

PARIS: Daniel Ricciardo tidak mahu ambil pusing mengenai perbezaan statistik antaranya dengan rakan sepasukan di Red Bull, Max Verstappen dalam musim yang dibelenggu masalah reliabiliti.

Ricciardo yang akan menyertai Renault musim depan meraih dua kemenangan pada awal musim ini - di China dan Monaco - tetapi keseluruhan musimnya dihantui nasib malang dan menamatkan kempen 2018 di tangga keenam keseluruhan.

Secara perbandingan, Verstappen bangkit daripada permulaan musim yang buruk sebelum menikmati kempen Formula Satu terbaiknya setakat ini, menamatkan musim di tangga keempat. Dia turut memenangi perlumbaan di Austria dan Mexico selain meraih 11 penamat podium.

Ricciardo mengakui dia menyaksikan rakan sepasukannya itu meraih momentum yang dianggapnya sebagai satu kekecewaan baginya tetapi dia tidak mahu mengambil pendekatan perbezaan statistik itu sebagai sesuatu yang utama.

“Saya fikir saya mempunyai asas, mungkin sekitar rehat pertengahan musim yang menyaksikan saya tidak menghiraukan mengenai statistik lagi,” kata Ricciardo.

“Saya tahu saya mungkin boleh melakukannya pada sesi kelayakan tahun ini, siapa peduli? Saya mungkin menamatkannya dengan mata yang lebih kurang, siapa peduli?

“Saya hanya mahu lakukan apa yang termampu dan sekiranya berhasil, ia akan terhasil dan sekiranya tidak, hidup harus diteruskan.

“Sudah tentu, saya peduli tapi saya tidak mahu meletakkannya sebagai sesuatu yang terlalu penting. Saya mempunyai banyak perkara lain untuk difikirkan.”

Ricciardo gagal menjejak pentas podium selepas kejayaan di Monaco dan tidak menamatkan perlumbaan dalam lima daripada 15 perlumbaan Grand Prix berikutnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 2:01 PM