MAX Verstappen meraikan kejayaan memenangi Grand Prix Belanda. FOTO AFP
MAX Verstappen meraikan kejayaan memenangi Grand Prix Belanda. FOTO AFP
Reuters

Monza: Pemandu Red Bull, Max Verstappen berpeluang mencatat rekod kemenangan Formula Satu (F1) ke-10 berturut-turut pada Ahad ini di Monza.

Pemandu Belanda itu mendahului 138 mata di hadapan rakan sepasukan, Sergio Perez selepas 13 daripada 22 perlumbaan.

Dia meraih kemenangan di halaman sendiri dekat Zandvoort Ahad lalu untuk menyamai rekod sembilan kemenangan berturut-turut dilakukan Sebastian Vettel 2013, juga ketika bersama Red Bull.

Verstappen memenangi Grand Prix Itali dari tempat ketujuh pada grid permulaan tahun lalu ketika pemandu Ferrari, Charles Leclerc bermula di petak pertama tetapi menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

Red Bull sudah memenangi setiap perlumbaan setakat musim ini, 14 berturut-turut termasuk perlumbaan terakhir 2022 di Abu Dhabi, dan sekali lagi menjadi pilihan di Monza.

Sejak Lewis Hamilton meraih kemenangan kelima GP Itali bersama Mercedes pada 2018, tiada pemandu yang berjaya mengulangi kemenangan di Monza.

Leclerc menang pada 2019 tetapi terbabit kemalangan pada 2020. Pierre Gasly menang pada 2020 dan bersara selepas tiga pusingan pada 2021 manakala Daniel Ricciardo menang pada 2021 tetapi gagal menamatkan perlumbaan pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 10:22 AM