JIKA tidak beraksi tahun depan, Ricciardo sasar turun semula ke litar pada 2024. FOTO Reuters
JIKA tidak beraksi tahun depan, Ricciardo sasar turun semula ke litar pada 2024. FOTO Reuters
Reuters

Singapura: Daniel Ricciardo berkata pasukannya 'berbincang dengan hampir semua orang' bagi memastikan dia dapat kekal berada di grid Formula Satu (F1) tahun depan.

Bercakap menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Singapura hujung minggu ini, Ricciardo berkata, itu adalah Pelan A untuk mengekalkannya terus berlumba selepas terputus hubungan dengan McLaren pada hujung musim ini.

Jika perancangan itu tidak berjaya Pelan B pula ialah berehat selama setahun daripada perlumbaan dan cuba untuk fokus pada 2024.

"Saya masih lagi mahu menjadi sebahagian daripada F1, sudah tentu Pelan A adalah untuk meneruskan perlumbaan tapi seperti saya katakan, saya tidak mahu hanya terus mengisi kedudukan pemandu utama yang kosong.

"Pasukan saya berbincang dengan hampir semua orang dan mereka sedang mengaturnya.

"Kami hanya melakukan usaha yang wajar dan memikirkan perkara terbaik. Kita cuba untuk melihat lebih jauh tahun depan, saya mahu berlumba tetapi juga tidak hanya melihat pada 12 bulan akan datang dan bukannya 24 bulan akan datang," kata Ricciardo.

Ricciardo, 33, mempunyai lapan kemenangan dalam perlumbaan F1, yang terbaru di Grand Prix Itali pada 12 September 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 9:38 AM