HAMILTON akan kekal beraksi bersama Mercedes pada musim baharu. FOTO Agensi
HAMILTON akan kekal beraksi bersama Mercedes pada musim baharu. FOTO Agensi
Agensi

London: Lewis Hamilton mungkin akan menerima tawaran daripada Aston Martin jika dia meninggalkan Mercedes pada hujung musim ini.

Pemilik bersama pasukan Formula Satu (F1) itu, Lawrence Stroll mengakui beliau teruja untuk cuba memujuk juara dunia itu ke pasukannya.

Menjelang musim 2021, Stroll yang juga jutawan Kanada, berjaya memujuk juara dunia empat kali, Sebastian Vettel untuk beraksi bersama anaknya, Lance Stroll.

Bagaimanapun kemungkinan untuk memujuk Hamilton beraksi bersama Aston Martin adalah perkara yang beliau tidak akan ambil mudah.

"Ia pasti amat mengujakan. Lewis hebat beraksi dengan mana-mana jentera dan saya pasti setiap orang akan menyatakan 'ya' kerana dia adalah juara dunia tujuh kali.

"Tetapi ketika ini, saya hanya mahu fokus kepada persiapan pasukan pada tahun ini," kata Stroll.

Hamilton, 36, menamatkan spekulasi berhubung masa depannya di saingan F1 apabila menandatangani lanjutan kontrak selama setahun bersama Mercedes awal bulan ini.

Mercedes sudah mendominasi sukan itu ketika era moden ini dengan memenangi kategori pengeluar sebanyak tujuh kali manakala Hamilton pula muncul juara dunia enam kali bersama pasukan Jerman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 11:57 AM