HAMILTON tidak risau dengan aksi kurang konsisten dalam sesi ujian pramusim di Bahrain. FOTO AFP
HAMILTON tidak risau dengan aksi kurang konsisten dalam sesi ujian pramusim di Bahrain. FOTO AFP
AFP

Sakhir: Valtteri Bottas mencatat masa terpantas pada hari kedua ujian pramusim di Bahrain, manakala rakan sepasukannya yang juga juara dunia, Lewis Hamilton berkata tidak perlu risau dengan keadaan kurang konsisten prestasi mereka di Litar Sakhir.

Bottas mencatat masa 1 minit 30.289 saat selepas melakukan 58 pusingan bersama jentera Mercedes, 24 jam berbeza pada hari pertama dengan menduduki tangga terbawah berikutan berdepan masalah kotak gear sekali gus hanya membolehkannya melakukan ujian selama enam pusingan sahaja.

Juara dunia tujuh kali, Hamilton, yang berada di kedudukan ke-10, tergelincir ke tangga ke-15.

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel, yang musim ini bersama Aston Martin selepas meninggalkan Ferrari mencatat masa paling perlahan.

Jentera yang dipandu Hamilton berpusing pada sesi pagi sebelum Bottas mengambil alih ujian di bawah terik matahari.

"Ia sedikit berangin, di mana saya merasainya ketika di selekoh ke-13. Tayar bahagian depan tidak rasa seperti sempurna namun saya cuba untuk mencari kedudukan yang baik.

"Ia baru dua hari kami melakukan ujian pramusim, jadi fokus utama adalah untuk memahami keadaan jentera, tidak ada apa yang perlu dirisaukan," kata Hamilton.

Pierre Gasly, dari pasukan Alpha Tauri, mencatat masa kedua terpantas mengatasi pelumba McLaren, Lance Stroll.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 12:22 PM