Lewis Hamilton pada sesi ujian kedua Grand Prix Arab Saudi. FOTO EPA
Lewis Hamilton pada sesi ujian kedua Grand Prix Arab Saudi. FOTO EPA
Reuters

London: Lewis Hamilton menyuarakan hasrat untuk kekal di Mercedes namun bos pasukan Toto Wolff berkata dia "tidak akan memaksa" jika juara dunia Formula Satu tujuh kali itu merasakan satu keperluan untuk mencari pasukan baharu pada masa hadapan.

Pelumba Britain berusia 38 tahun itu akan tamat kontrak pada penghujung musim 2023 dan tidak pernah memenangi perlumbaan sejak dia mencatatkan rekod yang ke-103 pada Disember 2021 dengan Mercedes bergelut untuk menyediakan kereta yang kompetitif.

Mercedes menduduki kedudukan keempat terpantas ketika pembukaan musim di Bahrain, dengan Hamilton memberitahu wartawan dia menganggap Red Bull mempunyai kelebihan setiap pusingan.

"Saya tidak fikir Lewis akan meninggalkan Mercedes," kata Wolff kepada pemberita di Grand Prix Arab Saudi.

"Dia berada pada tahap di mana kami mempercayai antara satu sama lain, kami membentuk ikatan yang hebat antara satu sama lain dan kami tidak mempunyai sebab untuk meragui satu sama lain walaupun ini pada masa yang sukar," katanya.

"Ia akan menjadi sangat baik apabila kami berjaya keluar dari permasalahan ini dan kembali ke persembahan yang mantap.

"Sebagai pemandu, bagaimanapun, jika dia mahu memenangi satu lagi kejuaraan, dia perlu memastikan dia memiliki kereta itu.

Sementara itu Max Verstappen tidak menunjukkan sebarang tanda kesakitan daripada sakit perut dialaminya semalam apabila mendahului catatan masa buat Red Bull di depan Fernando Alonso pada sesi latihan kedua awal pagi tadi di Grand Prix Arab Saudi.

Juara dunia dua kali itu menahan kesakitan di perut yang melambatkan kehadirannya di Jeddah selama 24 jam sebelum mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 29.603 saat bagi mengatasi juara dua kali, Alonso yang memandu Aston Martin dengan 0.208s.

Sergio Perez ketiga bersama jentera kedua Red Bull di depan Esteban Ocon dari Alpine, George Russell dari Mercedes dan Pierre Gasly yang memandu jentera kedua Alpine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 10:25 AM